TIDAK sampai sebulan selepas Jabatan Imigresen menjumpai sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) di Nilai Spring, Negeri Sembilan, agensi tersebut pada Rabu membongkar sebuah lagi perkampungan membabitkan kumpulan berkenaan yang terletak di Cyberjaya, Selangor.
Jika penempatan sebelum ini dijangka sudah wujud selama lebih setahun, kawasan baharu ditemui kali ini pula dilaporkan sudah beroperasi dalam tempoh lebih lama iaitu tujuh tahun.
Sama seperti penempatan di Nilai Spring, serbuan tersebut menyaksikan perkampungan itu turut memiliki fasiliti kemudahan hampir serupa antaranya warung, kedai runcit dan surau.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, perkampungan haram yang dilengkapi dengan kemudahan kira-kira 100 rumah sewa itu dibina berselindung di sebalik kawasan bukit dan hutan untuk mengelakkan daripada dikesan.
Jelasnya, pasukan operasi juga berdepan kesukaran kerana kedudukannya yang tersorok dan berada tiga hingga empat kilometer dari laluan utama.
Menurut beliau, seramai 55 Pati warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita diberkas ketika serbuan.
Khairul berkata, dianggarkan seramai 40 orang lagi berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang dikelilingi kayu serta kaca dipercayai menjadi 'pelindung' kampung terbabit.
Susulan daripada penemuan tersebut, warganet rata-ratanya mempersoalkan bagaimana perkampungan tersebut boleh dibiarkan wujud dengan begitu meskipun ia berada tidak jauh daripada kawasan pentadbiran negara, Putrajaya.
Terdapat juga pengguna Facebook mendakwa selalu melintasi kawasan tersebut dan mengakui melihat adanya kesan wujudnya penempatan berkenaan.
"Bukit Damar Dengkil ni. Yang lawaknya, tak sampai setengah jam ke jabatan-jabatan kerajaan Putrajaya.." kata pengguna Facebook, Muhammad Iqbal Hamzah.
"Kalau kawasan Bukit Damar ni lebih tujuh tahun rasanya. Dulu selalu masuk. Memang ada penempatan siap berpagar zink, ada kedai runcit dan warung.
"Kita nak masuk ke tanah kita pun risau. Dekat sangat dengan Putrajaya dan Cyberjaya baru ada tindakan. Tuan tanah benarkan?" soal Terry Yeyyi.
"Aku ingat dalam hutan Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak ke apa ke.....Woi dekat Cyberjaya pun tak boleh kesan ka," kata Muhammad Akmal Muhammad Azim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
tamat