PADA Selasa, tular satu video memaparkan seorang imam bermain bola di dalam masjid bersama sekumpulan kanak-kanak di dalam sebuah masjid yang dipercayai berada di Lebanon.
Video berdurasi tujuh 30 saat itu menunjukkan imam tersebut yang berpakaian jubah dan serban menimbang-nimbang dan menendang bola di ruangan solat di dalam masjid berkenaan.
Mengulas mengenai video tersebut, seorang agamawan, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, meskipun perbuatan itu dilihat agak tidak sesuai, ia tidak dihukumkan sebagai haram.
Namun begitu, beliau berkata, ia hanya jatuh haram sekiranya tindakan tersebut menyebabkan sebarang kemudaratan sehingga menganggu orang melakukan ibadah dengan sempurna.
“Ia tidak haram, tapi hukumnya makruh kerana perbuatan itu berpotensi antaranya menganggu orang solat termasuk menjejaskan tahap kebersihan tempat tersebut.
“Jadi jika tindakan bermain bola itu tetap dibenarkan di tempat tersebut dan membawa kepada kekotoran atau kehadiran najis, perbuatan itu akan berubah daripada makruh kepada haram,” katanya kepada Majoriti pada Rabu.
Mohd Izhar bagaimanapun berkata, tindakan imam tersebut perlu dihormati kerana tidak boleh dinafikan terdapat beberapa riwayat antaranya seperti yang terdapat dalam kitab Sahih Bukhari menceritakan mengenai sahabat Nabi Muhamad yang menggunakan masjid bagi bermain dan berlatih menggunakan tombak.
Jelasnya, tidak dapat juga dinafikan bahawa terdapat umat Islam terdahulu yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk berlatih berperang atau mempelajari ilmu mempertahankan diri.
“Jadi apabila terdapat dalil yang ditonjolkan ulama dalam isu ini, kebanyakan orang Arab di negara seperti Lebanon dan Syria, mereka benarkan budak-budak main dalam kawasan masjid. Tetapi bukan di semua tempat,” ujarnya.
Mohd Izhar menambah, pengalamannya tinggal di Syria selama 12 tahun juga mendapati bahawa adalah amat jarang untuk melihat masyarakat di negara itu membenarkan masjid dijadikan sebagai ruang untuk aktiviti sukan.
Sementara itu, beliau berkata, amalan tersebut tidak sesuai untuk dilakukan di rumah ibadah di dalam negara kerana kebanyakan masjid sudah pun membezakan tempat antara ruang ibadah yang khusus untuk solat dan ceramah serta kawasan pekarangan masjid.
“Kawasan pekarangan ini di Malaysia kita memang unakan untuk buat macam-macam program lain antaranya seperti main ping pong dan termasuk buka gerai jualan. Jadi untuk main bola dalam pekarangan masjid tidak ada masalah,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram