'Azmin dijangka tetap bertanding dalam PRN, kenyataan mahu berehat hanya gimik'


  • Politik
  • Khamis, 16 Feb 2023

Mohd Yahya menyifatkan langkah terbaharu Azmin itu dibuat hanya sekadar gimik bagi memastikan bekas Ahli Parlimen Gombak itu kekal relevan dalam politik negara menjelang pilihan raya di Selangor.

BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka tetap bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini meskipun beliau baru sahaja mengumumkan keputusan untuk berehat sebentar daripada politik pada Isnin lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, beliau percaya langkah terbaharu diambil Azmin itu dibuat hanya sekadar gimik bagi memastikan bekas Ahli Parlimen Gombak itu kekal relevan dalam politik negara menjelang pilihan raya di negeri berkenaan.

Jelas beliau, tindakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu juga dilihat sebagai strategi pemimpin berkenaan bagi menilai sentimen sokongan bukan sahaja daripada kalangan rakyat tetapi juga daripada partinya sendiri.

"Dia akan tunggu tengok (sentimen). Sebab kita dah kenal dia berpuluh tahun, kita kenal dia punya rentak politik.

"Dia akan tengok macam mana maklum balas orang ramai. Dia akan baca dan dengar," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata, dalam situasi ketika imej Azmin dilihat seperti sudah sedikit tenggelam, tindakan tidak bertanding pada PRN kali ini bakal membunuh terus karier bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam politik negara.

"Orang politik kalau tidak bertanding, dia akan hilang daripada gelanggang. Bila berlaku macam itu, orang pun lupa. Dia tidak mahu orang lupa dengan dia," ujarnya yang pernah menjadi setiausaha kepada Azmin ketika pemimpin itu mula menjadi Pengerusi PKR Selangor sekitar tahun 2000.

Mohd Yahya

Mohd Yahya

Dalam pada itu, Mohd Yahya berpandangan potensi PH untuk mengekalkan penguasaan ke atas negeri Selangor tetap positif meskipun bekas Timbalan Presiden PKR itu membuat pilihan untuk mengubah pendirian dan kembali aktif.

"Kalau tanya saya sebagai pengarah pilihan raya, dia masuk atau tak, tidak ada apa pun kepada PH. Maknanya kalau dia nak berehat pun, kalau tanya saya tidak apalah biarlah dia nak berehat.

"Tapi kalau dia nak masuk pun silakan. Ikutlah mana kerusi yang dia nak bertanding," kata beliau yang juga Pengerusi Pilihan Raya PKR Selangor.

Pada Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak selepas tewas kepada Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dengan majoriti 12,729 undi.

Dalam persaingan lima penjuru itu, beliau menerima undian kedua tertinggi sebanyak 59,538 di belakang Amirudin yang juga Naib Presiden PKR yang mendapat 72,267 undi.

Untuk rekod, Azmin masih memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, kerusi yang dimenanginya pada PRU14 ketika bertanding di bawah tiket PKR. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram