Tak sabarnya! 3 sinergi bikin JDT, Kedah dan TFC cemburu jika Keisuke Honda sah ke Selangor


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Honda ketika mengadakan lawatan di pusat latihan pasukan Selangor FC pada Rabu sambil ditemani Tengku Amir Shah. —Facebook/Selangor FC

SEMUA pasukan yang bersaing dalam Liga Super kini sedang rancak mengatur persiapan bagi memastikan pasukan masing-masing berada di momentum terbaik sebelum memasuki musim 2023 yang bakal bermula pada 24 Februari ini.

Selain daripada mengadakan siri perlawanan persahabatan, barisan kejurulatihan dan pengurusan juga tentunya ketika ini sibuk merangka strategi agar pasukan dibentuk dapat bersaing pada tahap yang kompetitif sepanjang musim.

Dengan bahang permulaan Liga Super semakin dirasai kini, kehadiran legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda di pusat latihan pasukan Selangor FC pada Rabu menghangatkan lagi kemeriahan bola sepak tempatan.

Lawatan Honda yang juga bekas pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja itu turut ditemani kehadiran pemilik Gergasi Merah, Raja Muda, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Perkembangan tersebut segera mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak negara yang mengaitkan kehadiran bekas bintang itu dengan kemungkinan penyertaannya ke dalam pasukan Selangor FC.

Namun begitu, timbul persoalan mengenai di manakah kedudukan kedudukan bakal diisi oleh beliau yang juga bekas pemain AC Milan jika desas-desus yang berlegar itu benar-benar berlaku.

Dengan umur sudah mencecah 36 tahun, kemasukan Honda sebagai pemain pastinya suatu kemungkinan yang agak jauh untuk difikirkan memandangkan sudah setahun beliau tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif.

Kali terakhir beliau beraksi adalah bersama dengan kelab FK Suduva di Liga Lithuanian pada 2021.

Disebabkan itu, khidmat Honda dilihat lebih sesuai sekiranya digunakan dalam membantu barisan kejurulatihan Selangor yang kini diterajui oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Dengan kebanyakan jawatan penting sudah diisi, antara pilihan masih boleh diisi oleh Honda adalah sebagai penasihat taktikal.

Sekiranya pasukan Lembah Klang itu mengesahkan kehadirannya ke dalam barisan kejurulatihan, pendekatan itu pastinya dicemburui oleh kelab gergasi Liga Super terutamanya Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA FC).

Ini kerana pasukan-pasukan itu meletakkan kepercayaan penuh mengenai pendekatan taktikal atas padang kepada jurulatih masing-masing sehingga dikhuatiri menjadi beban dalam setiap perlawanan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kelebihan boleh ditawarkan Honda sekiranya beliau diberi peluang menjawat jawatan tersebut:

1) Menyuntik sinergi baharu dalam taktikal Cheng Hoe

Cheng Hoe

Cheng Hoe. — Facebook/Selangor FC

Dengan pengalaman luasnya beraksi di beberapa liga di luar negara termasuk di Eropah, peluang tersebut tentunya mendedahkan Honda dengan amalan taktikal yang digunakan dalam saingan liga bertaraf antarabangsa.

Untuk rekod, selain AC Milan, beliau juga pernah beraksi di kelab CSKA Moscow yang merupakan antara pesaing utama di liga Rusia, Vitesse dan VVV-Venlo (Liga Eredevise, Belanda) serta Melbourne Victory (Liga A, Australia).

Selain itu, harus diingatkan, Honda turut mempunyai penglibatan di dalam arena bola sepak Asia antaranya dalam penampilannya bersama Nagoya Grampus di Liga 1 Jepun manakala di peringkat Asia Tenggara pula, beliau memulakan karier kejurulatihan bersama Kemboja pada tahun 2018.

Dengan keluasan pengalamannya itu, Honda pastinya mempunyai sesuatu untuk ditawarkan bagi menambah sinergi taktikal bakal digunakan Cheng Hoe yang diakui mempunyai kehebatan dalam arena bola sepak tempatan.

Dengan visi Selangor FC yang tidak terhad hanya sekadar mahu bersaing di peringkat domestik, kemasukan Honda tentu menyediakan Selangor bagi beraksi di dengan corak permainan lebih tinggi dan berdaya saing bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga Asia.

2) Rekrut pemain antarabangsa termasuk dari liga Jepun

Hondaa

Honda ketika beraksi bersama AC Milan. —Agensi

Dengan nama besar sebagai antara pemain yang menjadi perintis kepada kemasukan pemain Asia di pentas Eropah, beliau pastinya mempunyai gambaran lebih jelas mengenai gaya pengurusan kelab bola sepak profesional di benua tersebut.

Dengan pengetahuan tersebut, Honda tentunya dapat membantu Selangor bagi mengenal pasti bakat dari Eropah yang benar-benar dapat membantu menaikkan prestasi pasukan.

Dalam pada itu, sebagai legenda bola sepak di Jepun, Honda pastinya mempunyai pengaruh untuk menarik perhatian pemain dari negara Matahari Terbit itu yang mempunyai tahap liga antara paling kompetitif di peringkat Asia.

Dikenali sebagai negara yang melahirkan pemain dengan disiplin dan kesedaran taktikal yang tinggi, ia tentu membantu meningkatkan prestasi pasukan Merah Kuning setanding dengan kelab Asia yang lain.

Kehadiran Honda juga bakal membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan reputasi Liga Malaysia di Jepun dan seterusnya membuka pintu kepada kemasukan lebih banyak pemain dari negara tersebut.

3) Tingkat pengurusan pasukan setaraf dengan standard antarabangsa

Honda_Cambodia_5

Honda mempunyai pengalaman kejurulatihan di peringkat Asia Tenggara sebagai pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja. —Agensi

Dengan pengalaman diperolehi di peringkat antarabangsa, Honda secara langsung terdedah kepada cara pengurusan kelab profesional di negara terbabit.

Justeru, beliau sedikit sebanyak pastinya dapat membantu memberikan panduan kepada pasukan pengurusan Selangor mengenai standard diamalkan oleh kelab-kelab besar di luar negara.

Dengan bantuan kepakaran sedemikian, ia dapat mengurangkan pengurusan Selangor FC yang baru beberapa tahun melalui proses penswastaan daripada melakukan sebarang kesilapan yang berpotensi membantutkan kemajuan pasukan tersebut.

Panduan berkenaan juga boleh dijadikan kayu ukur atau batu asas dalam setiap perancangan baharu yang mahu dilaksanakan oleh kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram