Hapus hutang PTPTN: 'Itu janji PAS', Rafizi minta MP PN cermin diri


  • Primer
  • Rabu, 15 Feb 2023

Rafizi turut mengusulkan supaya Ahli Parlimen Machang dirujuk kepada Jawatankusa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan Dewan.

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli meminta ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya mencermin diri sebelum mengkritik kerajaan dalam isu penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, ini kerana langkah itu merupakan antara janji ditawarkan sendiri oleh PAS yang kini merupakan parti komponen PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Rafizi turut mempersoalkan tindakan yang dilakukan PAS untuk merealisasikan janji tersebut ketika menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, Pakatan Harapan (PH) juga dengan jelas menyatakan pendirian baharunya berhubung isu tersebut sejak tahun 2018.

"Pengerusi PTPTN dari tahun 2018 sampai 2022 daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Yang janji hapus PTPTN ialah PAS pada 2018.

"Bila terus dimainkan seolah-olah PH janji PTPTN sedangkan kita daripada 2018 lagi dah nyatakan kita terlepas peluang untuk reform sebelum PRU pada tahun 2013.

"Sebab sebelum itu hutang PTPTN sekitar RM20 bilion. Sekarang hutang dah jadi RM50 bilion. Bila melintasi angkat tertentu, kita tak boleh lakukannya lagi (hapus PTPTN)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai prestasi ekonomi Malaysia di Kementerian Ekonomi, Putrajaya, pada Rabu.

Pada Selasa, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengusulkan supaya Ahli Parlimen Machang dirujuk kepada Jawatankusa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan Dewan.

Menurutnya, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 menjanjikan menghapuskan pinjaman PTPTN adalah tidak benar.

Susulan daripada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan kenyataan itu dan berkata PH sememangnya berjanji menghapuskan pinjaman PTPTN secara bersasar.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa berkata, kerajaan tiada sebarang rancangan memansuhkan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.

Katanya, ia mengambil kira soal keupayaan dan kelangsungan terutama tindakan pemansuhan hutang berkenaan yang akan membabitkan jumlah besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Hapus PTPTN, Rafizi, PAS, Bersatu, PH, PN, Wan Ahmad Fayhsal, B40