MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan langkah membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) hanya akan memberikan penyelesaian jangka pendek dalam membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan rakyat mempunyai jaringan keselamatan sosial yang mencukupi terutamanya ketika mencapai usia tua.
"Kita sedia maklum pada masa akan datang, kos kesihatan kos sara hidup akan meningkat. Jadi pandangan saya ialah lebih baik kerajaan membangunkan dasar bentuk makro untuk jangka masa panjang dengan bantu dari segi gaji dan kenaikan kos sara hidup.
"Ia seperti panadol, kalau kerajaan benarkan keluar KWSP sama ada bersasar atau tidak, ia hanya selesaikan sementara masalah untuk orang berumur 30 hingga 40 tahun tapi dia sebenarnya menggali lubang ketika berumur 50 hingga 60 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai prestasi ekonomi Malaysia di Kementerian Ekonomi, Putrajaya, pada Rabu.
Menurutnya, sekiranya pengurusan ekonomi dan kewangan negara diuruskan dengan baik, beliau yakin kerajaan bakal dapat mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang tanpa memerlukan mereka mengeluarkan simpanan KWSP.
Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan itu berkata, setakat ini, kerajaan kekal dengan pendiriannya untuk tidak melaksanakan pengeluaran tersebut kepada pencarum.
"Setakat ini itu pandangan saya dan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kecuali kita ada data baharu dan keadaan baharu," ujarnya.
Pada 10 Februari lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara di dalam Belanjawan 2023 bagi membantu golongan B40 terutamanya untuk menjana pendapatan tambahan tanpa perlu membuat pengeluaran simpanan KWSP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram