Isu 'ponteng' Dewan Rakyat timbul lagi, ini 5 MP catat kehadiran tercorot


  • Berita
  • Khamis, 16 Feb 2023

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Selasa menyaksikan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling membalas kenyataan berkenaan dengan kehadiran wakil rakyat di blok masing-masing.

MESYUARAT Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Selasa mencipta sejarah baharu buat Dewan Rakyat apabila pertama kalinya perdana menteri tampil untuk menjawab soalan pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri.

Langkah itu merupakan antara pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, dalam kita meraikan penambahbaikan tersebut, terdapat juga cerita kurang enak didengari berkenaan dengan tahap kehadiran ahli Parlimen pada persidangan tersebut.

Pada Selasa, ahli Parlimen daripada kedua-dua blok sama ada kerajaan atau pembangkang saling berbalas kenyataan berhubung isu kehadiran wakil rakyat masing-masing ketika sidang tersebut.

Memulakan serangan berhubung perkara tersebut adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang mendakwa beberapa pimpinan utama pembangkang tidak hadir ketika sesi yang diadakan pada pagi Selasa.

Perkara dibangkitkan Chean Chung itu mendapat reaksi daripada wakil rakyat pembangkang yang menyifatkan tuduhan tersebut sebagai cubaan untuk mereka-reka cerita sambil turut berkongsikan gambar memaparkan kekosongan kerusi di blok Kerajaan ketika mesyuarat semalam.

Isu mengenai ketidakhadiran ahli Parlimen ketika sesi Dewan Rakyat bukanlah sesuatu yang baharu. Malah terdapat juga inisiatif digerakkan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) melalui inisiatif MyMP.

Badan pemerhati tersebut melakukan pemantauan terhadap kehadiran ahli Parlimen dengan mengumpulkan data awam diperolehi daripada Senarai Penyata Rasmi atau Hansard Parlimen.

Berikut merupakan senaraikan lima ahli Parlimen dengan kehadiran terendah dikeluarkan MyMP bagi Persidangan Parlimen Ke-14 untuk tempoh tahun 2021 hingga 2022:

Muhyiddin

Muhyiddin

1) Muhyiddin Yassin

Berada di kedudukan tercorot ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya merekodkan kehadiran sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan hari persidangan di Parlimen dalam tempoh tersebut.

Untuk rekod, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh sudah memegang kerusi tersebut selama enam penggal termasuk ketika PRU15 baru-baru ini.

Muhyiddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada PRU15 dengan kemenangan besar majoriti 10,007 undi.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai perdana menteri menjadi faktor menyumbang kepada tahap kehadiran beliau di Parlimen.

Hamzah

Hamzah

2) Hamzah Zainuddin

Ahli Parlimen Larut yang juga, Datuk Seri Hamzah kini dipilih oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen mencatatkan peratus kehadiran sebanyak 28.57 peratus.

Dalam dua kerajaan terakhir sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Setiausaha Agung PN ini telah mempertahankan kerusi Parlimen Larut selama empat penggal berturut-turut termasuk ketika PRU15.

Pernah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah sebelum ini merupakan ahli Parlimen yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum beralih arah dengan menyertai Bersatu selepas PRU14.

Yu Keng  — Facebook/PKR Parlimen  Miri P.219

Yu Keng

3) Michael Teo Yu Keng

Merupakan seorang pakar sakit puan, Dr Michael Teo Yu Keng yang mempertahankan kerusi di Parlimen Miri selama dua penggal pada PRU13 dan PRU14 merekodkan prestasi kehadiran sebanyak 29.76 peratus.

Beliau yang juga antara ahli perintis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999 sebelum itu menjadi Ahli Parlimen Sibuti pada PRU12.

Menjelaskan mengenai tahap kehadirannya itu, Yu Keng dilaporkan berkata, beliau terpaksa mengambil cuti sakit pada tahun 2021.

Yu Keng berkata, beliau jatuh sakit selama tiga kali sejak Julai 2021 termasuk dimasukkan ke hospital selama 10 hari disebabkan kesan alahan terhadap ubatan.

Reezal

Reezal

4) Reezal Merican

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican merekodkan peratus kehadiran sebanyak 29.76 peratus.

Beliau yang juga pernah menjadi menjadi Menteri Belia dan Sukan merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selam dua penggal iaitu pada PRU13 dan PRU14.

Pada PRU15 lalu, beliau gagal untuk mempertahankan kedudukannya apabila tewas dengan majoriti kepada calon PN, Dr Siti Mastura Muhammad yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867 undi.

Abdul Hadi

Abdul Hadi

5) Abdul Hadi Awang

Pada 11 November lalu, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil mempertahankan jumlah kedatangannya ke Dewan Rakyat selepas didakwa hanya menghadiri 21 daripada 71 sesi.

Beliau yang merupakan Presiden PAS menyifatkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat tidak boleh disamakan dengan kedatangan pelajar ke sekolah kerana ia berbeza daripada segi sistem dan perjalanan.

Dalam pemantauan dilakukan MyMP, peratusan kehadiran Abdul Hadi untuk tempoh 2021 hingga 2022 adalah 30.95 peratus.

Pada PRU15, Abdul Hadi yang baru dilantik sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya enam penggal sebelum ini dengan majoriti 41,729 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram