Tahap kehadiran ahli Parlimen dipertikai, netizen minta MP 'selfie' sebagai bukti hadir


  • Politik
  • Selasa, 14 Feb 2023

Gambar dikongsikan Chean Chung yang mendakwa ketidakhadiran beberapa pimpinan utama PN di Parlimen pada pagi Selasa. — Twitter/ Lee Chean Chung

UNTUK seseorang wakil rakyat dipilih rakyat setiap lima tahun sekali ketika Pilihan Raya Umum (PRU), mereka tentunya memikul tugas besar bagi memastikan agar suara masyarakat di kawasan masing-masing didengari di Parlimen.

Jadi bagi memenuhi tuntutan tersebut, ia memerlukan mereka untuk hadir di Dewan Rakyat bagi terlibat secara aktif dalam sebarang keputusan atau perbincangan yang berlaku di Parlimen.

Disebabkan itu, setiap kali tibanya musim persidangan Parlimen, antara berita yang sering mula muncul adalah mengenai sikap sesentengah wakil rakyat yang dilihat seakan mengambil mudah tanggungjawab mereka.

Ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, seorang ahli Parlimen Kerajaan, Lee Chean Chung tampil membuat dakwaan bahawa terdapat tiga pemimpin utama Perikatan Nasional yang tidak hadir pada sesi pagi Selasa.

Menerusi ciapan di Twitternya, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, antara individu tidak hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jadual Parlimen pada pagi Selasa menyaksikan buat pertama kalinya Dewan Rakyat menyediakan sesi Soal Jawab oleh Perdana Menteri yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Membidas mengenai ciapan tersebut, seorang wakil rakyat PN yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mempersoalkan tahap kehadiran ahli Parlimen Kerajaan pada Selasa.

Tanpa berkongsikan waktu ia diambil, gambar dikongsikan Mas Ermieyati di ciapan balasnya itu memaparkan banyak kerusi kosong tidak diisi oleh wakil rakyat daripada blok Kerajaan.

"YB, tengok ni barisan depan no satu dan dua blok kerajaan. Kosong sangat ni. Apa sudah jadi?? kerajaan kot...." ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pula berkata, isu dibangkitkan wakil rakyat Kerajaan itu disifatkan sebagai cerita rekaan yang senjaga dicipta.

Ini kerana menurutnya, nama pemimpin yang dibangkitkan itu hadir berada sebaris dengannya ketika sesi terebut.

"Saya berada sebaris dengan mereka di dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri bahawa mereka hadir pagi tadi.

"Mudah sebenarnya nak buat cerita daripada sekeping gambar dalam Dewan Rakyat ni. Contohnya, gambar ini.

"Saya ambil gambar blok Menteri dan Timbalan Menteri pada jam 4.16 petang ketika Ketua Pembangkang sedang berbahas," ujarnya yang turut berkongsikan gambar menunjukkan kekosongan di blok Pembangkan di Parlimen.

Dalam pada itu, menjengah di ruangan komen, terdapat netizen yang secara berjenaka mencadangkan agar setiap ahli Parlimen melakukan swafoto setiap kali hadir di Parlimen untuk mengelakkan tuduhan ponteng.

"nak komen jugak, duduk sebaris tunjuk lah muka..org kater selfie ker wefie..bukti tu penting," kata seorang warganet, Mya Syazana.

"Sejuk sangat YB dalam dewan tu," ujar seorang warganet, Halid Hashim yang mengulas mengenai punca ketidakhadiran ahli Parlimen.

Dalam pada itu, dengan mengambil kira tahap kehadiran ahli Parlimen yang mengecewakan, ada juga pengguna secara berseloroh mencadangkan agar PRU tidak diadakan kerana ia dianggap sebagai membuang masa jika situasi itu berterusan.

"Kalau macam ni, lepaih ni toksah buat pilihanraya laaa.... rugi duit dan rugi masa.... Sepatutnya wakil rakyat hadir ke sesi parlimen untuk mendengar dan berbahas," kata Idris Osman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram