WALAUPUN mempunyai lima pemain import, ternyata penyokong Negeri Sembilan FC (NSFC) belum berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan segelintir tonggak import pasukan berkenaan.
Malah, nama pemain dari Ghana, Kossu Adetu dan Omid Nazari (Sweden) antara yang disebut sebagai pemain yang perlu dikeluarkan dari kelab NSFC sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula tidak lama lagi.
Seorang penyokong skuad Jang Hobin, Muhammad Azrul berkata, kemampuan Omid ibarat hanya di tahap pemain tempatan dan lebih baik pemain dari Thailand diambil untuk mengisi kuota Asean selepas ini.
Kossu Adetu gagal menyinar bersama dengan skuad Jang Hobin. — Facebook
Amirul Hakim Zulkarnain juga meminta supaya Omid dan Kossu dikeluarkan daripada barisan pemain NSFC.
"Matheus Alves dan Herold Goulon boleh dikekalkan. Manakala David Mawutor pula perlu diberi lebih masa memandangkan baru pulih daripada kecederaan," katanya.
Sementara itu, Afiq Akmal pula berkata, selain Alves dan Goulon, kualiti pemain import yang ada jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan.
Kualiti Omid Nazari (kanan) dianggap jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan. — Facebook
"Daripada bayar import mahal-mahal, lebih baik cari pemain tempatan. Pasukan yang tiada masalah tunggakan gaji ini rasanya tiada masalah untuk pemain keluar masuk," katanya.
Untuk rekod, NSFC kini berada di kedudukan ke tiga dalam saingan Liga Super dengan tiga rekod kemenangan dan satu kalah serta seri dalam lima perlawanan sebelum ini.
Setakat ini, Goulon telah menjaringkan 5 gol dan berada di kedudukan ke empat dalam senarai penjaring terbanyak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram