Najib ajak Kit Siang debat, tapi Steven Sim pula sahut cabaran


  • Politik
  • Sabtu, 21 Mei 2022

Steven Sim mahu mencabar Najib berdebat dalam bahasa Inggeris. — Bernama

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat.

Perkara itu dibangkitkan selepas Najib mencabar veteran DAP, Lim Kit Siang yang telah mengumumkan persaraannya awal tahun ini.

"Saya rasa Kit Siang tidak perlu terima (cabaran) ini kerana dia sudah bersara.

"Kalau Najib betul-betul ikhlas mahu berdebat, ayuh, saya terima.

"Dia jemput Kit Siang berdebat dalam bahasa Inggeris. OK I'm on! Datuk Seri dan saya, kita berdebat dalam bahasa Inggeris. Datuk Seri tolong kemukakan masa dan tempat.

"Jangan hantar orang lain," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook pada Sabtu.

Tambahnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menginsafkan Najib tentang budaya berdebat.

"Saya masih ingat, dulu masa dia jadi PM, Najib kata debat bukan budaya kita.

"Sekarang lepas berdebat dengan Anwar, dia nak ajak saudara Kit Siang berdebat pula," katanya.

Sim berkata, beliau sebelum ini pernah mencabar Najib untuk perlawanan berbalas pantun, namun tidak dilayan oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

Terdahulu, Najib mencabar Kit Siang untuk berdebat dalam bahasa Inggeris.

Najib yang mendakwa Kit Siang sering membuat kenyataan yang mengkritik dirinya, turut mempersoalkan sama ada veteran itu benar-benar telah bersara dari dunia politik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram