TIGA rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup kira-kira 17,704 gram (g) heroin, 261g ice (syabu) dan 2g pil ecstasy di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu (18 Mei) digagalkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).
Penemuan itu mendorong operasi penguatkuasaan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), di mana seramai tiga lelaki warga Malaysia berumur antara 23 dan 28 tahun, termasuk pemandu kereta telah ditahan di lokasi berbeza di Singapura dalam tempoh dua hari.
"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai hampir S$1,295,000 (RM4,119,887.03) dan mencukupi bagi menampung penggunaan kira-kira 8,430 penagih heroin dan 150 penagih ‘ice’ untuk seminggu,” menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan bersama.
Pada petang 18 Mei, kereta yang didaftarkan di Malaysia memasuki lorong pemeriksaan imigresen di Zon Ketibaan dan menjalani pemeriksaan rutin.
"Bungkusan dipercayai dadah ditemui dalam bonet kereta. Pemandu warga Malaysia berusia 28 tahun segera ditahan dan dirujuk kepada CNB untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam operasi susulan dijalankan pada awal pagi 19 Mei, CNB berjaya menahan dua lelaki warga Malaysia disyaki penerima bungkusan itu di sekitar Bedok North Street 1.
Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan, kata pihak berkuasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram