Polis belum kenal pasti identiti mayat wanita terapung di Sandakan


  • 112
  • Sabtu, 21 Mei 2022

Keadaan mayat terapung yang ditemui oleh orang ramai pada pagi Sabtu.

MAYAT seorang wanita ditemui terapung di laut di daerah Sandakan, Sabah mencemaskan orang ramai.

Wanita yang dipercayai berusia 30-an atau 40-an itu ditemui orang ramai yang lalu lalang di sepanjang Jalan Coastal, kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mayat tersebut kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

"Setakat ini tiada tanda-tanda berlaku kekasaran atau kecederaan pada badan," katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Beliau berkata, mayat telah diambil dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah kematian mengejut buat masa ini," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu, atau sesiapa yang kehilangan saudara mara untuk tampil atau menghubungi balai polis Sandakan di talian 089-212 222 bagi membantu mengenal pasti mangsa dan membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram