INTERAKTIF: Taktik penipuan online semakin bermaharajalela, ambil tahu cara lindungi diri


  • Primer
  • Ahad, 22 Mei 2022

Mangsa penipuan dalam talian digalakkan membuat laporan polis bagi membolehkan maklumat dan data berkaitan ‘penipu’ dikumpul untuk tindakan selanjutnya.

DARIPADA tawaran durian yang sangat murah sehingga tawaran kerja dengan gaji lumayan, penipu dalam talian menggunakan taktik baharu dan diubah suai untuk menarik mangsa memberi wang mereka.

Kini, semakin ramai menggunakan aplikasi dalam internet untuk melakukan segala-galanya termasuklah mencari pekerjaan, memesan makanan, membeli-belah, memulakan perniagaan kecil-kecilan dan mencari pelanggan.

Medium aplikasi berkenaan memberi peluang kepada penipu untuk mengubah suai modus operandi mereka bagi memerangkap pengguna.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, pada tahun lepas menyaksikan jumlah penipuan e-dagang tertinggi dengan mangsa kerugian sejumlah RM74.08 juta melibatkan 9,574 kes, peningkatan 63.7 peratus berbanding tahun sebelumnya

Di samping itu, tiga bulan pertama 2022 pula menyaksikan 2,070 kes penipuan e-dagang dilaporkan dengan kerugian RM26.7 juta.

Bar chart -

Taktik baharu penipu menyukarkan orang ramai mengetahui bahawa mereka telah diperdaya dalam talian kerana kelompok berkenaan akan menyamar sebagai perekrut kerja, penjual dalam talian, pembeli, malah “orang tengah” untuk menipu pemburu kerja serta penjual dan pembeli dalam talian.

Beberapa taktik yang digunakan bukanlah sesuatu yang baharu tetapi pengguna mudah tertipu kerana ramai penipu beroperasi dalam sindiket tersusun yang menyasarkan sejumlah besar mangsa dalam talian setiap hari.

Berikut adalah antara taktik terkini yang digunakan oleh penipu dalam talian untuk menipu pengguna Internet:

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM1.61 bilion dilaporkan di negara ini antara 2019 dan 2021.

Katanya, jumlah aduan tertinggi melibatkan pembelian dalam talian dengan 18,857 kes, diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546.

“Pelbagai usaha dilakukan polis untuk membanteras sindiket penipuan termasuk mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang, operasi, penahanan dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat dalam penipuan,” katanya.

Mangsa terdiri daripada remaja, pencari kerja kepada profesional seperti guru dan doktor dengan masing-masing dicatatkan mengalami kerugian ratusan hingga ribuan ringgit dalam penipuan ini.

Pada awal April, seorang doktor berusia 29 tahun di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan mengalami kerugian hampir RM175,000 akibat penipuan dalam talian yang mendakwa menawarkan kerja sambilan pemasaran digital dan jualan.

Meskipun, undang-undang seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011 boleh melindungi mangsa penipuan tetapi adalah penting untuk orang awam berwaspada sebelum membuat sebarang pembelian atau memindahkan wang ke akaun yang tidak diketahui.

Mangsa penipuan dalam talian digalakkan membuat laporan polis bagi membolehkan maklumat dan data berkaitan ‘penipu’ dikumpul untuk tindakan selanjutnya.

Pengguna dalam talian boleh menjalankan semakan ke atas maklumat penjual seperti nombor telefon dan akaun bank melalui aplikasi atau portal "Semak Mule".

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan CCID (talian bantuan) di 03-2610 1559, yang tersedia dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari untuk mendapatkan maklumat dan mengesahkan panggilan bagi transaksi yang mencurigakan.

Pengguna juga boleh membuat aduan melalui portal kementerian di https://eaduan.kpdnhep.gov.my, e-mel ke [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP, WhatsApp 019-279 4317 atau hubungi Pusat Perintah Penguatkuasaan di talian 03-8882 6245/6088. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram