BOLA sepak moden tidak lagi cuma bergantung kepada taktikal jurulatih, sebaliknya ball boy (pengutip bola) atau lebih dikenali sebagai 'budak milo' turut memberi sumbangan ketika perlawanan.
Selain berperanan mengutip bola di tepi padang, 'budak milo' juga boleh memberi bantuan dengan cara menghantar semula bola kepada pemain untuk menjaringkan gol atau pun melengah-lengahkan masa permainan.
Namun, bantuan itu bergantung kepada kecergasan fikiran dan kepantasan seseorang 'budak milo' itu sendiri.
Syihan Hazmi dilihat berkata sesuatu kepada 'budak milo' di tepi padang.
Pada 11 Mei lalu, insiden antara penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Syihan Hazmi dengan 'budak milo' di tepi padang antara yang menjadi tumpuan ketika perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT).
Beberapa aksi Syihan yang didakwa berkomplot dengan 'budak milo' sehingga melengahkan masa perlawanan dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Malah, menerusi perlawanan itu juga, dapat dilihat pengadil memberi amaran kepada 'budak milo' itu kerana dilihat seperti sengaja lewat memberikan bola kepada pemain.
Namun, di luar negara, bantuan 'budak milo' adakalanya membantu sesuatu pasukan untuk menjaringkan gol.
Berikut merupakan dua situasi di luar negara yang mana bantuan 'budak milo' berjaya mencetuskan impak dalam sesuatu perlawanan:
1) Oakley Cannoier
Cannoier (kanan) bergambar bersama Alexander-Arnold. — Agensi
Populariti penyerang belia, Oakley Cannoier meningkat kerana peranan kecilnya sebagai 'budak milo' ketika kemenangan Liverpool 4-0 menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara di Anfield pada 2019.
Menurut Mail Online, berbaki 11 minit dalam perlawanan itu, Cannoier dengan pantas melemparkan bola kepada pemain pertahanan Trent Alexander-Arnold untuk membolehkannya melakukan tendangan sudut secara pantas.
Cannonier (dalam bulatan) merupakan 'budak milo' yang memberi bantuan kemenangan kepada Liverpool pada 2019. — Agensi
Melihat pertahanan Barcelona yang leka, Alexander-Arnold menghayun tendangan sudut untuk Divock Origi untuk menjaringkan gol buat Liverpool.
Cannonier mendapat banyak pujian daripada pakar dan peminat kerana tindakannya yang pantas.
Ikon Anfield, Graeme Souness juga memuji pemain berusia 14 tahun itu pada 2019, ketika beliau dijemput dalam satu program.
Cannonier menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan Liverpool pada Julai 2021.
2) Callum Hynes
Mourinho memberi 'high-five' kepada Hynes. — Getty Images
Pengendali Tottenham Hotspur ketika itu, Jose Mourinho memuji tindakan pantas 'budak milo', Callum Hynes ketika kemenangan 4-2 kelab itu menentang Olympiacos F.C dalam Liga Juara-Juara pada November 2019.
Menurut BBC, Hynes berusia 15 tahun ketika melambungkan bola kepada Serge Aurier yang membawa kepada gol penyamaan minit ke-50.
Mounrinho mengucapkan tahniah kepada Hynes disertai dengan 'high-five' atas bantuan itu, sementara pasukannya meraikan gol tersebut.
Hynes berkata, dia tidak percaya dengan apa yang berlaku dan hanya menjalankan tugasnya.
Hynes dijemput untuk makan bersama pemain Spurs selepas tamat perlawanan. — Agensi
"Saya tidak nampak gol pun. Saya sibuk mendapatkan bola yang terlepas dan kemudian saya mendengar sorakan. Saya berpaling dan Harry sedang meraikannya.
"Saya melihat tayangan ulang di skrin dan melihat dengan tepat apa yang berlaku. Anda boleh lihat dari senyuman saya ia sungguh sukar dipercayai. Jose tidak perlu berbuat demikian. Ia benar-benar bagus untuk dia datang kepada saya. Saya suka Spurs dan ia adalah detik yang menakjubkan yang tidak akan saya lupakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram