JIKA masih ada yang beranggapan kerjaya guru mudah dan selesa, kenyataan itu harus dinilai kembali kerana hakikatnya pelbagai cabaran perlu dilalui bagi mereka yang bergelar pendidik.
Setiap guru, sama ada yang bertugas di luar bandar mahupun di bandar terpaksa berdepan dengan cabaran tersendiri.
Namun, sukar dan mencabar setinggi mana sekali pun, ia tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk terus berbakti menyampaikan dan memberi ilmu kepada anak bangsa.
Melihat semangat juang yang ditunjukkan warga pendidik di kawasan luar bandar menggambarkan secara tepat betapa suci dan murninya jiwa mereka menyumbang ilmu kepada generasi demi generasi.
Meskipun mereka berdepan pelbagai cabaran tersendiri, namun ia tetap diatasi dengan tenang demi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak bangsa yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
Menyentuh mengenai cabaran bagi guru yang mengajar di luar bandar terutama kawasan pedalaman, tiga isu utama yang sering membelenggu mereka ialah dari segi kemudahan, menangani isu kehadiran pelajar terutamanya anak-anak daripada keluarga bermasalah dan kekangan alat bantu mengajar.
Menurut guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku Lingga, Sri Aman, Sarawak, Ahmad Faizal Osman, ketiga-tiga cabaran itu ibarat ‘makanan’ bagi guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman sepertinya.
Namun, segala cabaran itu dilaluinya dengan tenang bagi memastikan anak-anak murid yang tinggal jauh di pedalaman tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.
“Memandangkan Sarawak merupakan negeri yang terbesar dan terluas di Malaysia sudah tentu terdapat sekolah yang terletak jauh di pedalaman seperti di daerah Lubok Antu, Kapit dan Belaga.
“Cabaran utama ialah jarak perjalanan ke sekolah. Guru-guru yang mengajar di sekolah pedalaman akan mengambil masa yang lama dan menaiki bot menyusuri sungai untuk sampai ke sekolah.
“Selain itu kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air agak terhad di pedalaman dan diganti dengan penggunaan generator serta takungan air bukit atau air hujan.
“Liputan internet sudah pasti sangat terhad. Namun daya usaha kerajaan negeri membantu memperbaiki kemudahan diharap dapat menyuntik semangat guru-guru di pedalaman,” ujarnya.
Justeru, katanya, meskipun banyak cabaran perlu dilalui tetapi guru tetap menjadikan ia sebagai pendorong untuk terus mendidik anak bangsa.
Tambah guru yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu, pengalaman lebih 27 tahun bertugas di Sarawak membuatkan dirinya sebati dengan segala cabaran yang perlu dilalui. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram