PEMILIK baharu Perak, XOX Bhd tidak menunggu lama untuk melunaskan tanggungjawab yang perlu digalas apabila dilaporkan sudah mula membuat pembayaran tunggakan gaji melibatkan jumlah hampir RM1.6 juta kepada sebahagian besar kakitangan serta para pemain kelab itu.
Dengan khabar gembira itu, para penyokong skuad The Bos Gaurus pastinya lebih teruja dan bersemangat untuk menyaksikan persembahan Perak selepas menerima suntikan kewangan daripada syarikat telekomunikasi itu.
Selain penyelesaian tunggakan gaji, para penyokong sudah tentu mahukan pembaharuan segar kepada pasukan termasuk dari segi infrastruktur yang dirasakan perlu ditambah baik sebagai usaha menggalakkan lebih ramai penyokong ke Stadium Perak.
Inisiatif itu dibuat kelab penyokong, Seladang Fan Club di Facebook pada Sabtu yang dilihat mengumpul pandangan penyokong untuk disampaikan kepada pihak XOX.
"Apa pembaharuan yang kome (anda) nak lihat di stadium setelah XOX ambil alih Perak FC? Nanti admin sampaikan kepada pihak XOX Malaysia," tulisnya dalam satu hantaran Facebook.
Rata-rata penyokong melontarkan pandangan masing-masing dengan ada yang meminta padang stadium dinaik taraf selain menambah baik kemudahan jalur lebar bagi memastikan kualiti capaian internet yang bagus.
"Pertama sekali buatlah padang dulu, padang yang berkualiti, kemudian baru langkah seterusnya," kata Amirul Asyraaf Ramli di ruangan komen.
Stanley Morisson pula mahu liputan internet yang baik dan diberikan secara percuma di segenap stadium.
"Wifi free full bar dalam segenap ceruk stadium, senang nak buat live," katanya.
Tangkap layar sebahagian cadangan yang dilontarkan oleh penyokong Perak FC. — Facebook
Komen itu dipersetujui Ajiebs German kerana merasakan perkara itu boleh direalisasikan memandangan skuad The Bos Gaurus kini dimiliki syarikat telekomunikasi.
"Beno juga tu...(syarikat) kompeni telco kan, kena la tambah baik kemudahan internet di stadium," katanya.
Selain pembaharuan di stadium, ada juga peminat yang mahu XOX menumpukan fokus ke arah menyelesaikan masalah Perak FC satu persatu khususnya kemelut kewangan yang membelenggu skuad itu.
"Selesaikan satu persatu dulu masalah Perak FC. Kemudian baru buat penambahbaikan untuk pasukan Perak FC dari segi penstrukturan gaji barisan kejurulatihan dan pemain.
"Pengurusan yang mantap sentiasa tahu hala tuju pasukan. Semoga Perak FC akan terus maju dan kembali semula ke Liga Super di masa akan datang," kata Shah Riezal.
Aidil Shu pula meminta barisan pemain Perak FC menjaga emosi masing-masing kerana merasakan emosi adalah kunci paling penting dalam setiap pertandingan.
"Kawal emosi, emosi penonton pun patut kena kawal, jadilah penonton dan pemain yang kurang emosi dan lebihkan kepada semangat melawan.
"Dalam semangat kesukanan yang tinggi, mentaliti kita yang perlu berubah. Kepada penyokong sudah-sudahlah mencarut di stadium, tiada ciri-ciri orang Islam," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Nabil meminta pengurusan mengharamkan kemasukan geng kasual yang suka mencetuskan provokasi seperti membaling mercun dan membuat kekecohan.
"Haramkan kemasukan geng-geng kasual...baling mercun bagai...pastu buat kecoh...nanti yang kena pengurusan juga nak bayar dendanya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram