PENCAPAIAN luar biasa Johor Darul Ta'zim dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) melayakkan diri ke pusingan kedua ternyata mengundang banyak pujian sama ada dalam kalangan peminat tempatan mahu pun luar negara.
Sekumpulan dengan jaguh Jepun dan Korea Selatan bukan tugas mudah buat anak buah Benjamin Mora menempuh laluan berliku itu tetapi atas semangat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi membuktikan mereka mampu melakar kejutan.
Namun di sebalik kejayaan yang membanggakan rakyat Malaysia itu, masih ada yang iri hati dan mempertikaikan bahawa tiada pemain jati Johor yang boleh dibanggakan di sebalik pencapaian tersebut.
Tampil mempertahankan JDT, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Encik Sani berhujah untuk menjelaskan isu pemain jati yang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Lantang membidas perkara itu, Encik Sani mencabar mana-mana peminat tegar kelab yang melaungkan isu anak jati itu, supaya membuktikan bahawa kelab yang disokongnya perlu mendakap sekurang-kurangnya Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Fans (peminat) nak tengok bukti. Bukan layan fans sembang kat Facebook. Ada bran (berani) ke?
"Minta kelab masing-masing buang semua (pemain) import dan guna 100 peratus anak jati saja.
"Kami fans J akan menanti result (keputusan). Once (sekali) berjaya, memang kami tabik spring. Dengan syarat kena buktikan atas padang dan ranking Malaysia naik," katanya.
Tangkap layar hantaran Encik Sani di laman Facebook.
Encik Sani turut menggesa peminat kelab lain untuk tidak perlu mendesak JDT membuang pemain import dan naturalisasi.
Hal ini kerana katanya, kelab itu sememangnya bermain dengan pemain campuran.
"Slot 2 AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan 2 ACL dah open soon hasil dari J buka jalan. Mohon fans jati tunjukkan kejantanan masing-masing ya," katanya.
JDT pada 30 November lalu mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati saingan ACL buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Iskandar Puteri, Johor.
Kemenangan manis yang penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.
Sebelum ini, JDT berjaya mengumpul AS$310,000 (kira-kira RM1.35 juta) hasil daripada siri keputusan positif yang diraih mereka di peringkat kumpulan dan kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik ACL musim ini.
Ia kerana, menurut apa yang ditetapkan AFC, setiap pasukan yang menang dalam aksi peringkat kumpulan akan menerima AS$50,000 (RM217,600) sementara pasukan yang seri akan mendapat habuan AS$10,000 (RM43,520).
Justeru, berdasarkan empat kemenangan dan satu seri yang diraih skuad Harimau Selatan dalam Kumpulan I, mereka mengumpul AS$210,000 (RM913,920). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram