Kepercayaan Irfan terhadap Sabah FC


  • Podium
  • Selasa, 03 Mei 2022

Irfan tidak dapat menonjolkan prestasi memberangsangkan ketika bersama JDT. — Facebook JDT

BERGELUT dengan masalah kecederaan menyebabkan nama Irfan Fazail kian tenggelam di bibir para peminat bola sepak tanah air.

Pemain yang pernah dianggap sebagai salah seorang yang berbakat sebelum ini, tidak menepati jangkaan para peminat.

Malahan dia juga terpaksa beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akibat prestasinya yang merosot serta berdepan masalah kecederaan.

Menyedari mahu mencari angin baharu, Irfan memilih untuk dipinjamkan ke Sabah FC musim ini.

Irfan juga dapat bersatu semula dengan bekas ketua jurulatihnya ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee.

Mengulas prestasi Sabah FC ketika ini, Irfan berkata, perjalanan liga masih panjang maka dia berharap semua pemain dapat memberikan fokus terhadap satu demi satu perlawanan sebagai satu pasukan.

"Setiap perlawanan yang dilalui akan berbeza dari segi kekuatan dan keseimbangan pasukan lawan.

"Saya percaya setiap pemain yang diberikan kepercayaan oleh jurulatih akan memberikan segalanya untuk menjalankan tugas di dalam padang dengan baik.

"Saya berharap pasukan Sabah FC terus konsisten dalam mencari kemenangan dalam setiap perlawanan akan datang," katanya kepada Majoriti baru-baru ini.

Irfan dipinjamkan ke Sabah FC musim ini untuk memperoleh semula momentumnya. — Facebook Sabah FC

Dalam pada itu, berkongsi persiapan rayanya pada tahun ini, Irfan dan keluarganya akan pulang beraya ke kampung halaman.

"Bergantung kepada cuti hari raya yang diberikan.

"Jika ia mengizinkan, saya, isteri dan anak-anak akan pulang beraya di Semenanjung Malaysia bersama keluarga kami di sana," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram