LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan berhubung tempoh pertama pendaftaran pemain Liga Malaysia 2022.
Menurut laporan Astro Arena, Ketua pegawai eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pasukan yang menghadapi masalah penggantungan perpindahan pemain ketika ini tidak dapat mendaftarkan pemain baharu bagi musim 2022.
"Sebagai contoh pasukan Perak yang berdepan penggantungan perpindahan pemain ketika ini, ini bermakna mereka tidak boleh menjalankan perpindahan pemain bagi musim 2022.
"Mengenai pasukan UiTM, saya telah berhubung dengan pihak kelab selepas pertukaran pemilikan kelab dan situasi tersebut membuatkan persiapan mereka tergendala, buat masa ini, mereka masih lagi akan mengambil bahagian bagi saingan musim 2022," katanya.
Tegasnya, MFL tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran pemain yang telah ditetapkan itu.
Terdahulu, Perak FC dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji lebih RM1.7 juta.
Media sebelum ini melaporkan, pengurusan Perak FC akan melakukan pembayaran gaji yang tertangguh selama empat bulan dari Ogos secara berperingkat, iaitu bayaran pertama dikeluarkan pada 31 Disember sementara bayaran kedua pada 31 Januari lalu.
Namun, pemain dilaporkan masih belum menerima pembayaran kedua itu dan pengurusan kelab dikatakan telah memohon tempoh lanjutan sehingga 15 Februari ini untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
The Bos Gaurus yang beraksi di Liga Premier musim ini melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap skuadnya apabila membawa masuk ramai pemain baharu bagi menghadapi saingan musim 2022.
Antara tonggak yang dibawa masuk adalah penyerang legenda, Indra Putra Mahayuddin dan dua bekas pemain kebangsaan, Wan Zack haikal dan Syamim Yahya.
Kelab turut difahamkan sudah mempunyai beberapa calon pemain import bagi memperkuat pasukan untuk merealisasikan impian kembali ke Liga Super pada 2023.
Namun, perkembangan terbaru ini menyebabkan kesemua pemain itu bakal disisihkan jika kelab tidak dapat melangsaikan hutang berkenaan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain yang berbaki lapan hari saja lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram