Zamsaham 'katok' FAM, MFL isu denda, tunggakan bayaran pengadil


  • Podium
  • Ahad, 13 Feb 2022

ZAMSAHAM berkata FAM enggan mendengar masalah yang dihadapi Kelantan FC. — Bernama

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mendedahkan 'pekung' terbaru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL).

Dalam satu kenyataan di Facebook, Zamsaham berkata, FAM masih belum melangsaikan hutang sebanyak lebih RM79,000 untuk bayaran pengadil yang telah dilunaskan oleh Kelantan FC bagi pihak MFL pada tahun lepas.

Beliau membuat pendedahan itu selepas FAM mengendakan denda terhadap Kelantan FC kerana tidak menghantar pasukan bawah 19 tahun bertanding dalam saingan Piala Belia pada musim ini.

"Assalamualaikum semua peminat industri bola sepak FAM, MFL yang dihormati.

"Ringkas! Pihak FAM hanya tahu denda, denda dan denda. Kesilapan sendiri tak pernah tengok.

Norizam Tukiman

NORIZAM Tukiman mengulas tentang denda yang dikenakan FAM.

"Terkini Kelantan FC akan didenda kerana tak hantar pasukan belia bertanding.

"Alasan, saya sendiri dah beritahu kita tak dapat hantar sebab FAM sendiri lambat bayar duit referee (pengadil) yang dah Kelab Kelantan FC lunaskan bagi pihak MFL tahun lepas.

"Fokus utama pada yang utama, Most important most urgent, Most Important not urgent...perlu lihat keadaan dan utamakan yang utama," katanya.

Zahsaham juga berkata, FAM enggan mendengar masalah yang dihadapi Kelantan FC walaupun kelabnya itu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak tanah air itu.

Malah katanya, Kelantan FC sudah melunaskan semua gaji pemain tahun lepas walaupun pendapatan kelab itu terjejas.

"Dia (FAM) tidak faham yang tiada penyokong yang datang ke stadium, pendapatan kurang dan kelab perlu uruskan cashflow dengan bijak.

"Match tahun lepas dah habis, duit referee Kelantan FC dah dibayarkan dahulu.

"Tetapi sampai hari ini sesen pun tak dapat. Bang, duit tu RM79,286.68, cukup dah untuk sebuah kelab swasta tampung perbelanjaan budak (pemain) belia.

"Persoalannya, apa FAM baik MFL tiada ke sistem rekod yang terus perlu bayar balik ke kelab selepas advance (pendahuluan) dibuat.

"Apa payable account policy yang MFL ada? Berapa hari sepatutnya bayar semula kepada kelab? Ini dah nak masuk Mac 2022, duit tak masuk lagi," katanya.

ZamSaham

KENYATAAN Norizam Tukiman di laman Facebooknya.

Sehubungan itu, Zamsaham secara terbuka menggesa FAM dan MFL agar dirombak secara menyeluruh.

"Anda ada wang berjuta, ada dana kerajaan lagi. Tetapi anda gagal bayar RM79,000 ke sebuah kelab..bukti anda gagal!

"Semoga Kelantan FC tak dibuli, didenda sewenang-wenangnya oleh pihak FAM yang jelas gagal capai matlamat KPI ke Piala Dunia 2014,2020.

"Anda yang set target tapi anda gagal. Anda ada duit banyak tapi mengapa tidak berjaya naikkan ranking.

"Kelantan FC sering didenda, apakah denda kepada FAM MFL yang gagal? Anda juga ingin dihormati.

"Saya akan hormat, tetapi janganlah layan Kelantan FC macam budak kecil.

"Jangan denda hanya mengikut Perlembagaan tanpa melihat isu Covid-19 pandemik yang menyebabkan ramai terkesan," katanya.

FAM dan MFL bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu yang dibangkitkan Zamsaham. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram