Sifu Kedah, JDT antara 4 calon pengganti Elavarasan


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

ELAVARASAN berjaya membawa Sarawak United melangkah ke Liga Super 2022 selepas menduduki tangga kedua Liga Premier musim lalu. — The Star

SEJAK beberapa hari ini, nama ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan hangat diperkatakan sebagai individu yang bakal mengisi kerusi panas jawatan penolong jurulatih tempatan kebangsaan.

Elavarasan, 57, memiliki pengalaman luas melatih beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) jadi tidak hairanlah jika nama beliau menjadi pilihan ketua jurulatih Harimau Malaya baharu, Kim Pan-gon.

Bersama Sarawak United, Elavarasan berjaya membawa pasukan itu melangkah ke Liga Super 2022 selepas menduduki tangga kedua Liga Premier musim lalu.

Ini bermakna, pasukan Borneo itu terpaksa mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Elavarasan sebelum saingan liga musim baharu bermula berbaki kurang sebulan sahaja lagi.

Tugas menggantikan Elavarasan bukanlah mudah kerana beliau sudah melakukan tugas yang amat baik membawa pasukan itu ke Liga Super walaupun berdepan banyak isu membabitkan pengurusan kelab.

Penyokong pastinya akan meletakkan harapan tinggi di bahu ketua jurulatih baharu yang akan menyambung legasi Elavarasan di Sarawak United.

Terdapat beberapa calon dilihat sesuai bagi menggantikan jurulatih itu.

Zainal Abidin — Facebook

1. Zainal Abidin Hassan

Meskipun membawa Melaka United ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, jodoh Zainal Abidin bersama skuad Hang Tuah itu tidak kekal lama apabila khidmatnya digantikan oleh Risto Vidakovic.

Beliau sebelum ini dikhabarkan antara nama yang dipertimbangkan sebagai pembantu kepada Pan-gon.

Pengalaman Zainal Abidin dalam bidang kejurulatihan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana pernah melatih beberapa kelab tempatan dan skuad Bawah 17 negara sejak 2001.

6vJH_773r6k4MBUx

Victor Andrag — MFL

2. Victor Andrag

Victor Andrag adalah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC kerana pernah berbakti di kelab itu sebagai pertahanan dari 2002 hingga 2010 dan merupakan sebahagian daripada skuad 'double treble'.

Beliau kini merupakan pembantu kepada ketua jurulatih KDA FC, Aidil Shahrin sejak 2019.

Beliau merupakan seorang sosok yang dihormati dan juga mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, pernah menyarung lilitan kapten ketika di Kedah.

Sebelum menjawat jawatan terkini, Victor pernah menjadi pembantu jurulatih Penang pada 2012 sebelum pulang ke Kedah sebagai jurulatih skuad remaja.

Shukor Adan — Facebook

3. Shukor Adan

Antara nama yang dilihat menepati boleh mengisi posisi tersebut adalah bekas pemain tengah kebangsaan, Shukor Adan yang mengumumkan persaraannya musim lalu.

Beliau yang kini memegang portfolio sebagai penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memiliki pengalaman beraksi selama kira-kira 21 tahun dalam arena Liga M.

Shukor juga memiliki sifat kepimpinan dan dihormati oleh para pemain tempatan lain di dalam serta luar padang.

hamzani omar

Mohd Hamzani Omar — Facebook/Johor Southern Tigers

4. Mohd Hamzani Omar

Atas kertas, namanya mungkin tidak sepopular calon lain namun Mohd Hamzani Omar dilihat antara calon sesuai bagi mengisi posisi tersebut.

Pengalaman yang dimiliki pembantu jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora itu tidak mustahil dapat memberi kelebihan buat Sarawak United.

Tidak hairanlah, Mohd Hamzani kekal mendapat kepercayaan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013 termasuk pernah menjadi pengendali JDT II sebelum ini.

Ia juga dapat menjadi pemangkin buat beliau untuk keluar daripada bayang-bayang Mora dan membuktikan kehebatannya sebagai ketua jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram