Fadhli Shas dedah pengalaman 8 tahun bersama JDT


  • Podium
  • Ahad, 13 Feb 2022

FADHLI mahu cabar diri untuk bersaing di Liga Super pada musim ini bersama Melaka United. — Facebook

TONGGAK Melaka United, Muhammad Fadhli Shas menyifatkan pengalaman lapan tahun bersama Johor Darul Takzim (JDT) menjadikan dirinya sebagai pemain yang memiliki ketahanan fizikal dan mental tinggi.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, mana-mana pemain yang tidak mempunyai ketahanan mental tinggi akan berdepan kesukaran untuk melangkah jauh dalam karier masing-masing.

"Momen dgn JDT memang kena kuat dari segi fizikal dan mental. Sesiapa yang mental tidak kuat, mana-mana footballer pun akan susah nak pergi jauh," katanya.

Fadhli berkongsi perkara itu dalam segmen '5 Minit Bersama' yang disiarkan di laman Facebook Malaysian Football League (MFL) pada Ahad.

Bekas tonggak utama skuad Harimau Muda A itu turut berkongsi misi dan sasaran peribadinya dengan Melaka United.

Kata Fadhli, dia mahu membantu skuad Sang Kancil itu mendapat keputusan yang baik dan menyasarkan kedudukan tiga teratas di pentas Liga Super musim ini.

"Banyak kerja rumah nak buat sebab pemain-pemain pun ramai yang baru. Insya-ALLAH kalau semua pemain fokus dan bagi tumpuan semasa latihan, Melaka United akan berjaya," katanya.

273723842_348064093842984_7150717088653405822_n

FADHLI (kanan) mahu membantu skuad Sang Kancil mendapat kedudukan tiga teratas di pentas Liga Super musim ini. — Facebook Melaka United

Berhubung perkembangan terkini bersama skuad Hang Tuah, Fadhli berkata, dia dapat membiasakan diri setakat ini dan mahu menyahut cabaran bersaing di Liga Super.

"Bagi saya musim baharu mestilah suasana dan cabaran baharu. Saya akan cabar diri untuk bersaing di Liga Super," katanya.

Fadhli juga berharap untuk mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong pasukan Sang Kancil itu agar dapat membantunya untuk memperoleh kejayaan bersama Melaka pada musim baharu nanti.

"Penyokong Melaka United teruskan bagi sokongan. Kami semua akan bagi yang terbaik dan menaikkan nama pasukan ini," katanya.

Sementara itu, pemain berketinggian 1.82 meter itu turut berkongsi pengalaman bermain sepak takraw ketika zaman persekolahan.

"Mungkin ramai tidak tahu saya sebelum ini pernah mewakili negeri Johor dalam kejohanan sepak takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sebelum masuk Sekolah Sukan Bandar Penawar.

"Dari situ ada ada kejohanan bola sepak bawah 14 tahun, jadi Cikgu Razak, dia orang yang bawa saya sertai bola sepak.

"Masa itu, (pasukan) bawah 14 tahun tak cukup pemain, jadi pemilihan dibuat secara rawak. Pasukan lain ada buat pemilihan dan saya terpilih untuk sertai sukan bola sepak," imbaunya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram