Pakaian menyerupai jantina lawan risiko lahir generasi tidak jelas identiti, keluarga harus tegah budaya songsang


  • Mukmin
  • Selasa, 18 Feb 2025

Perbuatan menyerupai jantina berlawanan dari segi pakaian, akhlak atau penampilan adalah terlarang kerana membawa kepada laknat ALLAH. — Gambar hiasan/Freepik

TINDAKAN beberapa lelaki beragama Islam hadir ke Anugerah Juara Lagu ke-39 di Kuala Lumpur dengan berpakaian seperti wanita menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Keadaan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, dengan ramai yang mempersoalkan tindakan tersebut dianggap melanggar norma budaya dan agama.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan segera susulan isu tular tersebut.

BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan

BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan

Mengulas mengenai situasi itu, Pensyarah Jabatan Syariah Kolej Islam Assofa, Amienah Ridzwan berkata, perbuataan lelaki menyarungkan pakaian menyerupai wanita adalah haram dalam Islam.

"Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dalam Soheh Bukhari: "ALLAH SWT melaknat lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki.

"Perbuatan menyerupai jantina berlawanan, sama ada dari segi pakaian, akhlak, hiasan atau penampilan adalah terlarang kerana ia membawa kepada laknat ALLAH SWT," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp_Image_2025-02-18_at_18.36.44

Amienah menekankan kepentingan agar ibu bapa mendidik anak-anak sejak kecil.

Beliau menambah, sekiranya fenomena itu dinormalisasikan dan diterima secara meluas dalam masyarakat, ia akan mengundang murka ALLAH SWT dan mendatangkan fitnah dalam pergaulan.

Lebih membimbangkan tegasnya, keadaan itu juga boleh menyebabkan kecelaruan jantina, kekeliruan batas pergaulan dan menghakis budaya kesopanan serta akhlak masyarakat Melayu.

"Jangan normalisasikan perkara yang haram. Fenomena tersebut juga berpotensi melahirkan generasi tidak mempunyai identiti jelas, selain merosakkan sahsiah dan moral masyarakat," ujarnya.

Sehubungan itu, Amienah menekankan kepentingan agar ibu bapa mendidik anak-anak sejak kecil agar tidak terjebak dalam fenomena tersebut.

Menurut beliau, sebagai langkah pertama, ibu bapa berperanan mendidik anak dengan akhlak yang sewajarnya dan mengkritik budaya songsang.

"Ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak terdedah pada pergaulan tanpa batas di samping menekankan pentingnya didikan agama yang kukuh.

"Selain itu, mereka juga perlu menjadi contoh terbaik dalam menerapkan nilai-nilai agama, memberikan anak-anak persekitaran baik dan mengelakkan pengaruh buruk yang boleh merosakkan akhlak," ujar beliau.

Jelasnya lagi, tanggungjawab membesarkan anak bukan sekadar memberi makan, pakaian dan pendidikan, tetapi juga memastikan mereka berjaya mengekalkan akhlak dan amalan agama sepanjang hidup.

Dalam konteks itu, ibu bapa yang memberikan bimbingan agama baik akan membantu anak-anak menghadapi dunia dengan moral dan prinsip kuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram