[VIDEO] Simbolik tanda restu, tolak energi negatif, adat bersiram kembali popular


  • Hiburan
  • Selasa, 18 Feb 2025

Wanna Ali menjalani adat bersiram dengan tujuh jenis bunga sebelum melangsungkan pernikahan. — Instagram/telagabungaspa

BUDAYA bersiram yang merupakan salah satu tradisi dalam perkahwinan Melayu nampaknya kembali meraih perhatian masyarakat.

Baru-baru ini, peminat industri seni tanah air menzahirkan keterujaan menyaksikan pelakon, Wanna Ali menjalani adat bersiram dengan tujuh jenis bunga sebelum melangsungkan pernikahan bersama jejaka pilihan, Khairul Amri Tan Sri Khalid pada Ahad.

Kongsi ibu Wanna, Datuk Ayu Puteh yang juga seorang penerbit, tradisi unik tersebut masih diamalkan dalam keluarga mereka.

BACA LAGI: Mimi Lana, Siti Saleha pilih sentuhan magis Khir Khalid untuk solekan di hari bahagia

BACA LAGI: 'Alhamdulillah, got married on a blessed Friday', Syafiq Kyle-Mimi Lana akhirnya 'jumpa' tarikh nikah

Bersiram itu katanya, penting untuk pengantin mendapatkan aura positif.

Lebih mengujakan, pelakon yang juga model, Mimi Lana turut mencuri tumpuan ketika melakukan adat bersiram bersama keluarga dan rakan selebriti sebelum disatukan dengan Syafiq Kyle.

Menerusi rakaman video dikongsikan aktres tinggi lampai itu di laman Instagramnya, acara tersebut turut dihadiri barisan penggiat seni popular termasuk Eyka Farhana, Azira Shafinaz, Sophia Liana dan pengarah, Isma Yusoof.

Adat melibatkan pengantin perempuan disiram air bunga atau air bercampur rempah sebelum perkahwinan, merupakan simbol penyucian diri dan permohonan restu serta keberkatan.

Tradisi itu bukan sahaja dijalankan oleh pasangan pengantin, tetapi juga mendapat perhatian ramai, terutamanya apabila ia dilakukan oleh selebriti terkenal.

Adat bersiram adalah salah satu daripada upacara tradisional yang masih diamalkan dalam kebanyakan perkahwinan Melayu, terutamanya dalam kalangan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan.

Sebelum hari pernikahan, pasangan pengantin akan menjalani adat bersiram, yang sering kali dianggap sebagai simbol pembersihan diri, baik secara fizikal mahupun rohani, sebelum memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri.

Snapinst.app_476501387_18083843746592840_3953435357699458203_n_1080

Adat bersiram juga merupakan cara menghormati orang tua dan keluarga. — Instagram/telagabungaspa

Makna dan tujuan

Secara tradisinya, bersiram mempunyai banyak makna yang mendalam. Adat tersebut bukan sekadar acara menyiram air pada badan pengantin, tetapi melambangkan penyucian jiwa dan tubuh untuk menghadapi kehidupan yang baharu sebagai pasangan.

Ia juga bertujuan menghapuskan sebarang gangguan atau energi negatif yang mungkin ada, memberi keberkatan dan memohon agar perkahwinan yang bakal berlangsung dipenuhi dengan kebahagiaan dan keharmonian.

Selain itu, adat bersiram merupakan cara untuk menghormati orang tua dan keluarga. Acara berkenaan sering kali diadakan dengan kehadiran keluarga terdekat, sebagai tanda restu dan doa daripada mereka agar pasangan pengantin diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan sepanjang perkahwinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram