
PENANGGUHAN pembinaan Teedo Resort Bagan Datuk, Perak pada 2018 menguatkan impian Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff menubuhkan hotel mesra bajet di ibu kota.
Hotel Teedo menawarkan bilik direka untuk memberi pengalaman seperti hotel bertaraf tinggi, tetapi dalam lingkungan harga mampu dimiliki.
Membangunkan hotel bertaraf tiga bintang, Nurulhidayah mengakui, konsep penginapan itu juga terinspirasi daripada realiti bahawa masih ramai individu tidak pernah merasai pengalaman menginap di hotel.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
"Saya tak sangka ada pengikut media sosial yang DM (direct message) di Instagram dan memberitahu tak pernah tidur di hotel.
"Jadi saya bincang dengan suami dan kami sepakat membuka hotel yang mampu semua orang menginap," katanya kepada Majoriti.
Beroperasi sejak November tahun lalu, Hotel Teedo terletak di bangunan Pudu Sentral, Kuala Lumpur menyajikan pengunjung pemandangan bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118.
Bercerita lanjut, Nurulhidayah memberitahu, hotel tersebut sebelum ini dikenali sebagai Hotel Ancasa Express dan popular dalam kalangan pelancong dan mereka yang berkunjung ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan atau percutian singkat.
Setelah dua tahun terbiar akibat pandemik Covid-19, hotel itu akhirnya mendapat peluang untuk diubah suai dan dijadikan hotel baharu.
Ujarnya, selepas menerima perkhabaran ia akan dipajakkan, suami menyuarakan hasrat untuk memiliki hotel tersebut, sekali gus merealisasikan impian mereka menubuhkan Hotel Teedo.
Hotel Teedo terletak di bangunan Pudu Sentral, Kuala Lumpur. — Hotel Teedo
Bagaimanapun, Nurulhidayah juga dikenali sebagai Nurul Zahid mengakui pada awalnya, beliau agak skeptikal untuk mengambil alih bangunan tersebut disebabkan keadaannya yang disifat tidak terurus.
"Bangunan ini dahulunya ditinggalkan dan dalam keadaan tidak terurus.
"Keadaannya sangat teruk, lantai rosak, pintu uzur, bilik air pun dalam keadaan yang tidak baik. Banyak yang perlu dibuat semula," katanya.
Namun, suaminya yang juga seorang kontraktor tekad meneruskan projek berkenaan.
"Beliau (suami) ada azam yang tinggi. Kalau mahu sesuatu, akan buat sampai jadi.
"Lalu, suami berbincang dengan beberapa institusi kewangan dan akhirnya kami mengambil keputusan membuat pinjaman bagi membiayai proses baik pulih hotel ini," tambahnya.
Ditanya pemilihan nama, anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu menjelaskan, nama Hotel Teedo bukanlah dipilih secara sembarangan.
Ujarnya, mereka berhasrat mengangkat bahasa Malaysia, tetapi pada masa sama menjadikannya lebih komersial.
"Jadi, ejaannya membawa maksud tidur, namun konsepnya lebih moden dan mudah diingati," jelas beliau.
Nurulhidayah (kiri) dan Saiful Nizam bersama-sama membangunkan Hotel Teedo. — Nurulhidayah
Lokasi tarikan
Selepas proses penjenamaan semula, Hotel Teedo kini tampil dengan wajah baharu, membawa konsep lebih segar dengan sentuhan moden.
Dengan lokasi strategik di tengah bandar Kuala Lumpur, hotel berkenaan mula menjadi antara lokasi pilihan disebabkan akses mudah ke pelbagai kemudahan dan tarikan pelancongan utama.
Pengunjung boleh menikmati akses mudah ke tempat-tempat tarikan pelancongan seperti Petaling Street dan kedudukan hanya 15 minit berjalan kaki ke pusat beli-belah The Exchange TRX.
Sebanyak 84 bilik menawarkan pemandangan ikonik Menara Merdeka 118. — Hotel Teedo
"Sebanyak 84 daripada keseluruhan 168 bilik di hotel ini menawarkan pemandangan ikonik Menara Merdeka 118 pada jarak dekat.
"Tetamu juga boleh mengunjungi Petaling Street yang berada dalam jarak 500 meter dan 10 minit berjalan kaki ke Bukit Bintang yang dipenuhi banyak aktiviti menarik,” katanya.
Hotel berketinggian 15 tingkat tersebut turut dilengkapi restoran, kedai serbaneka, Wi-Fi, televisyen dan penyaman udara.
Selain itu, turut menyediakan dewan yang boleh memuatkan antara 200 hingga 250 tetamu pada satu masa.
Saiz tersebut sesuai untuk persidangan berskala kecil atau mesyuarat bagi syarikat yang memiliki bajet terhad.
Pemilihan warna merah jambu mencerminkan cita rasa peribadi Nurulhidayah.
Konsep black-pink
Keunikan jenama itu juga mendapat sentuhan daripada pengalaman Nurulhidayah dalam bidang pengiklanan, penjenamaan dan pemasaran.
Menggemari rona merah jambu, tidak hairanlah hotel milik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tampil dengan konsep merah jambu terang (hot pink) dan hitam.
Bukan sahaja mencerminkan cita rasa peribadi Nurulhidayah, pemilihan warna itu juga memberi identiti tersendiri kepada hotel tersebut.
Akuinya, warna merah jambu adalah warna kegemarannya manakala hitam pilihan suami.
"Bukan sekadar estetika, warna ini juga satu strategi pemasaran. Merah jambu sebenarnya mempunyai kuasa pengaruh tersendiri, terutama bagi wanita yang sering kali membuat keputusan tempat penginapan," katanya yang mesra disapa Kaklong dalam kalangan kenalan terdekat.
Hotel dirasmikan Ahmad Zahid pada Oktober tahun lalu menawarkan 168 bilik, termasuk Grand Suite menyimpan makna tersendiri buat pasangan yang mendirikan rumah tangga di Masjidil Haram, Makkah pada 2017.
Hotel Teedo turut dilengkapi dengan kedai serbaneka bagi kemudahan tetamu. — Hotel Teedo
Bilik tersebut jelas Nurulhidayah, bukanlah sesuatu yang besar, tetapi ia dicipta untuk menyediakan ruang penginapan lebih selesa dengan suasana mesra keluarga didedikasikan buat ibu bapanya.
Berkongsi lanjut mengenai penubuhan, beliau berkata, proses pengubahsuaian hotel tersebut bukanlah mudah.
Setelah dua tahun terbiar, bangunan itu memerlukan kerja-kerja pembaikan yang teliti.
“Kita mengambil masa hampir setahun untuk proses pembaikan menyeluruh bagi memberi pengalaman percutian selesa kepada pengunjung dan pelancong.
“Jumlah keseluruhan kos untuk hotel ini menjangkau hingga RM5 juta daripada SME Bank tetapi kita banyak lakukan penjimatan dengan membuat renovasi sendiri oleh suami,” ujarya.
Tidak hanya itu, Nurulhidayah turut terlibat secara langsung dalam pemilihan setiap elemen reka bentuk hotel, bermula daripada warna, perabot, perhiasan sehinggalah ke landskap di sekitar lobi.
Turut sama turun padang, ibunya, Datin Seri Hamidah Khamis yang banyak membantu dalam hal landskap dan pemilihan pokok-pokok, manakala bapanya memberi nasihat dari segi pengurusan kewangan dan aliran tunai.
"Kebanyakannya memang kami buat sendiri, pilih sofa, anak patung kucing warna pink semua kita beli sendiri.
"Pokok di lobi pun mak yang susun aturkan. Beliau pergi ke Sungai Buloh untuk cari pokok yang sesuai diletakkan," bualnya dalam nada teruja.
Lobi hotel menyediakan ruang santai untuk semua pengunjung. — Hotel Teedo
Kajian ROI
Meskipun menawarkan harga mesra bajet, Hotel Teedo masih mempunyai strategi kewangan yang kukuh.
Menurutnya, perniagaan tersebut telah melalui kajian pulangan pelaburan (ROI) yang teliti sebelum dilancarkan.
"Kami bekerjasama dengan agensi pelancongan yang kebiasaannya menempah bilik dalam jumlah besar, contohnya 30 tetamu boleh tempah sekitar 20 bilik sekali gus.
"Selain itu, kami juga giat menjalin hubungan dengan syarikat pengurusan acara di Kuala Lumpur untuk menyediakan penginapan dan pakej khas bagi peserta program kendalian mereka," jelasnya.
Selain penginapan, hotel berkenaan turut menawarkan pengangkutan dan penyediaan makanan mengikut keperluan acara yang diadakan di sekitar ibu kota.
Inisiatif itu membolehkan hotel terus menarik pelanggan dengan pakej lebih lengkap dan menarik.
Walaupun berdepan dengan persaingan daripada banyak hotel bertaraf tiga bintang di kawasan tersebut, Hotel Teedo tampil dengan keistimewaan tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram