
WALAUPUN mempunyai sejarah yang panjang dan kaya, ramai rakyat Malaysia masih kurang pengetahuan tentang kewujudan etnik Chetti dan peranannya dalam membentuk warisan budaya negara.
Hal itu dikongsikan pelakon, Anita Permata Sari menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, anitapermatasari_.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
BACA LAGI: Sejarah masyarakat Chetti kini dipamerkan secara maya
"Untuk mereka yang tidak tahu tentang Chetti, kalian perlu mendalami lebih lagi tentang warisan budaya Malaysia.
"Seperti ramai tahu di Melaka ada banyak jenis Peranakan dan kebiasaannya orang pernah dengar tentang Baba Nyonya.
"Sementara Chetti pula adalah hasil daripada perkahwinan campur antara pedagang India yang datang ke Tanah Melayu dengan masyarakat tempatan, khususnya Melayu dan Cina," katanya.
Ujar Anita, Chetti merupakan peranakan India yang membawa tradisi dan pengaruh budaya Hindu, tetapi dengan cara hidup, pemakaian dan gaya percakapan mirip kepada masyarakat Melayu.
"Ini adalah perbezaan utama yang membezakan mereka dengan kelompok lain," jelasnya.
Sementara itu, dalam siri kedua videonya, Anita turut menjelaskan mengenai salah faham terhadap kumpulan Chettiar yang distereotaip sebagai golongan lintah darat atau loan shark.
Menurutnya, berbeza dengan pemahaman lazim, golongan Chettiar pada asasnya adalah pedagang yang mengembara melalui lautan ke Asia Tenggara untuk menjalankan perniagaan.
"Mereka juga pakar dalam perbankan, perdagangan, kewangan dan perniagaan. Jadi mereka mempunyai kekayaan yang sah untuk dipinjamkan kepada orang seperti pedagang dan petani pada zaman dahulu.
"Mereka juga memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi pada masa itu," ujarnya yang turut menyatakan adalah tidak tepat untuk menyifatkan golongan Chettiar sebagai lintah darat.
"Pada dasarnya mereka adalah pemberi pinjaman yang sah, seperti bank," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram