
MEMPUNYAI pasangan yang baik antara perkara paling diidamkan semua manusia terutama buat kaum wanita.
Hal ini bukan sekadar berkenaan dengan keperluan emosi, tetapi sangat berkait rapat dengan kesihatan mental seseorang.
Kehidupan bahagia bersama pasangan yang memahami, menyayangi dan menghormati mampu memberikan impak besar terhadap kesejahteraan jiwa serta fikiran.
BACA LAGI: Athina jadi inspirasi model 'plus size', kikis stereotaip wanita hanya cantik jika kurus
Memiliki pasangan yang baik juga merupakan rezeki daripada Tuhan. — Gambar hiasan
Sebaliknya, hubungan toksik, konflik berterusan, kurangnya penghormatan, serta ketidakseimbangan dalam komunikasi boleh membawa kepada tekanan emosi dan masalah kesihatan mental yang lebih serius.
Hidup tidak selalu indah, langit tidak selalu cerah, setiap individu pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan berpasangan, termasuk keganasan rumah tangga.
Sering mengalami tekanan emosi berpanjangan, hilang keyakinan diri serta berasa terperangkap dalam situasi yang sukar untuk diubah antara impak kepada mental mangsa keganasan itu.
Lebih parah apabila ia boleh menyebabkan kemurungan atau trauma yang teruk.
Justeru, kesedaran tentang isu itu juga semakin diketengahkan dalam pelbagai bentuk seni, termasuk muzik.
Antaranya adalah lagu nyanyian Hazreen Amreena, 28, berjudul Yang Ku Punya yang mengetengahkan kisah perjuangan seorang wanita dalam hubungan tidak sihat.
Hazreen yang mengetengahkan isu tersebut menerusi lagunya.
Lirik lagu juga menggambarkan ketabahan wanita dalam menghadapi kesakitan emosi dan usaha untuk membebaskan diri daripada penderitaan.
Seni seperti itu memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang realiti keganasan rumah tangga serta keperluan untuk mencari kekuatan dalam menghadapinya.
"Motif lagu ini bukanlah untuk menggalakkan lagi kes-kes rumah tangga, tetapi kami nak menggalakkan kepada para wanita yang di luar sana mungkin sedang mengalami situasi keganasan rumah tangga sekarang untuk menjadi lebih kuat dan berani keluar daripada hubungan toksik," katanya kepada Majoriti.
Kata Hazreen, meskipun tidak pernah mengalami situasi sedemikian, dia mengenali seseorang yang pernah menjadi mangsa keganasan.
"Saya ada kenalan wanita yang pernah berada dalam situasi ini dan bertahan selama empat tahun sebelum temui lelaki lebih baik sekarang.
"Ia memang beri kesan negatif pada kesihatan mental dia sebab selalu dipukul dan dimarah sampai buatkannya trauma.
"Bila dia mula-mula kenal dengan pasangannya kini, dia rasa takut bila nampak lelaki itu buat pergerakan seperti angkat tangan.
"Tindakan refleknya untuk mengelak itu berpunca daripada keganasan yang dihadapinya suatu ketika dahulu," kongsinya.
Situasi itu jelas menunjukkan bahawa setiap wanita mahupun lelaki yang mempunyai pasangan sebegitu akan mempunyai gangguan kesihatan mental.
Mengulas lanjut, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad melihat bahawa kebanyakan pasangan khususnya kaum hawa sanggup bertahan dalam hubungan tidak sihat itu kerana pelbagai faktor.
Antaranya adalah kebergantungan kewangan, rasa rendah diri atau perasaan sayang yang mendalam terhadap pasangan.
Fauziah berkata, pendera selalunya sering menggunakan teknik kawalan seperti gaslighting (memanipulasi realiti wanita), memberi ugutan atau mengawal kewangan dan pergerakan mereka.
"Ada juga wanita yang ada harapan bahawa pasangan akan berubah, terutama jika mereka pernah mengalami fasa honeymoon dalam hubungan.
"Faktor budaya dan stigma masyarakat juga memainkan peranan kerana sesetengah wanita takut dikecam atau dipersalahkan jika meninggalkan pasangan mereka," jelasnya.
Dr Fauziah Mohd Saad.
Susulan itu, Fauziah menyarankan beberapa cara atau inisiatif untuk golongan terbabit keluar daripada zon penderaan tersebut.
Katanya, setiap wanita perlu memahami bahawa penderaan bukan perkara normal dalam hubungan.
"Jika boleh, dapatkan bantuan profesional atau sokongan daripada keluarga atau rakan-rakan.
"Sekiranya penderaan bersifat fizikal atau berbahaya, penting untuk ada rancangan keluar yang selamat, contohnya, menyimpan duit kecemasan, mencari tempat perlindungan atau menghubungi pusat bantuan seperti Talian Kasih.
"Selain itu, terapi Kognitif-Tingkah Laku (CBT) atau Trauma (EMDR) dapat membantu wanita mengubah cara mereka berfikir tentang diri sendiri, mengenal pasti corak pemikiran negatif serta membina semula keyakinan diri," sarannya.
Tambahnya, wanita mengalami penderaan berkemungkinan memerlukan masa untuk pulih, tetapi dengan sokongan yang betul, mereka boleh membina semula kehidupan lebih bahagia dan bebas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram