
DUNIA kecantikan sememangnya sinonim dengan golongan wanita. Namun, seiring dengan peredaran zaman yang moden dan canggih, industri itu menyaksikan kemunculan pelbagai rawatan lebih inovatif serta mesra pengguna.
Bermula daripada rawatan asas seperti penjagaan kulit harian sehingga kepada prosedur estetik, pelbagai rawatan ditawarkan termasuk melentikkan bulu mata atau dipanggil eyelash lifting dengan menggunakan serum khusus.
Meskipun ia dilihat seperti satu inisiatif untuk individu yang tidak mahu memakai bulu mata palsu, namun adalah penting untuk menilai kesesuaian rawatan itu dengan prinsip syariah terutama bagi umat Islam.
BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan
BACA LAGI: Dari jururawat ke penjaga nenek di Mesra Home, Faezah bukti wanita kuat masih wujud
Melentikkan bulu mata adalah harus hukumnya. — Gambar hiasan
Untuk penjelasan lanjut, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Jamali Mohd Adnan memaklumkan bahawa rawatan itu adalah satu proses yang akan membuatkan bulu mata berada dalam keadaan melentik dan melengkung dengan memakai larutan dan alatan spesifik.
Menurutnya, ia hanya melibatkan kaedah membentuk bulu mata semula jadi yang sedia ada dan bersifat sementara tanpa mengubah kejadian ciptaan Tuhan.
Justeru, hukum melentikkan bulu mata adalah harus selagi ia tidak mengubah ciptaan ALLAH dan tiada sebarang perubahan yang bersifat kekal.
Beliau berkata, ia juga dibolehkan selagi pengguna tidak terdedah kepada risiko bahaya, selain bahan digunakan mestilah daripada sumber yang diyakini halal, suci dan baik.
"Ia juga tidak dihalang sekiranya tidak menggunakan bahan atau alatan yang menghalang air sampai ke permukaan kulit ketika berwuduk dan mandi wajib.
"Sebaliknya, sekiranya salah satu parameter tersebut diabaikan seperti menggunakan sesuatu bahan diharamkan, bernajis mahupun terdapat risiko yang memudaratkan, maka haram melakukannya hanya semata-mata untuk kecantikan," katanya kepada Majoriti.
Katanya, rawatan tersebut juga adalah harus selagi tidak menghalang wuduk daripada terkena kulit, maka ia tidak menjejaskan keabsahan solat.
Namun, perlu juga diberi perhatian terhadap produk berasaskan DIY (do-it-yourself) yang dijual tanpa pemantauan pakar.
Ustaz Jamali menjelaskan tentang hukum membuat rawatan kecantikan melentikkan bulu mata.
Jelas Ustaz Jamali, sekiranya pakar berautoriti menyatakan ia sememangnya akan memberi risiko bahaya dan diakui oleh pembuktian kajian saintifik menyatakan mendatangkan risiko (mafsadah) lebih besar maka, ia dilarang atas kemudaratan yang berlaku.
“Perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi adalah perbezaan prosedur pemakaian bulu mata palsu dan melentikkan bulu mata.
“Pemakaian bulu mata palsu semata-mata bagi tujuan kecantikan adalah dilarang kerana mempunyai unsur tadlis (penipuan).
“Hal ini berbeza jika tujuan pemakaiannya untuk menutup aib kecacatan bulu mata yang terbakar atau yang seumpamanya daripada perkara-perkara yang mengakibatkan bulu matanya hilang, rosak atau cacat,” katanya.
Berdasarkan kajian Dr Muhammad Abdul Aziz dalam kitab Zinah al-Mar’ah Baina al-Tib Wa al-Syar’ (Perhiasan Wanita Antara Perubatan dan Syara’), terdapat kesan sampingan dalam pemakaian bahan palsu di bulu mata.
“Adapun bulu mata buatan dan bahan-bahan yang melapisi bulu mata asal disebut sebahagian pakar-pakar perubatan bahawa, ia diperbuat daripada garam-garam nikel atau daripada pelbagai jenis getah tiruan.
“Kedua-duanya merupakan boleh menyebabkan alergi, radang kelopak mata dan keguguran bulu mata,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan tentang hukum mewarnakan bulu mata dengan menggunakan inai.
Mewarnakan bulu mata walaupun menggunakan inai adalah berlebih-lebihan. — Gambar hiasan
Jelasnya, sekalipun mewarnakan bulu mata dengan inai tidak menjejaskan keabsahan solat, namun perhiasan tersebut dilihat termasuk unsur yang berlebih-lebihan dan keterlaluan (tabaruj) dalam kecantikan.
Hal ini kerana, ia bertentangan dengan uruf masyarakat setempat wanita di alam Melayu yang memiliki bulu mata warna hitam.
Tambahnya, mewarnakan bulu mata seolah-olah tidak menunjukkan keaslian penampilan wajah secara fitrahnya.
Berbicara soal kecantikan, Islam mementingkan keseimbangan dan kesederhanaan serta mengutamakan keaslian dan penjagaan kesihatan.
Disebabkan itu, setiap individu perlu menilai kaedah kecantikan yang digunakan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam atau kemudaratan pada diri sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram