
MESKIPUN isu jurang gaji antara jantina terus menjadi perbincangan di seluruh Amerika Syarikat (AS), data terbaharu menunjukkan bahawa wanita kini memperoleh pulangan gaji lebih tinggi daripada lelaki.
Menurut Kajian Komuniti Sensus AS (ACS), pekerja wanita memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding rakan lelaki mereka di 40 bandar seluruh AS.
BACA LAGI: Jurang makin jauh? Ini pro-kontra kos sara hidup antara golongan T20 dan B20
Kajian oleh GOBankingRates yang mengkaji angka-angka ACS itu membandingkan pendapatan median pekerja wanita sebagai peratusan daripada pendapatan median lelaki.
Sebelum membincangkan lebih lanjut, adalah penting untuk membezakan antara gaji median dan purata.
Gaji median merujuk pada titik tengah dalam julat penuh angka daripada gaji terendah hingga tertinggi, manakala gaji purata dikira dengan menambah semua nilai gaji dan membahagikan angka itu dengan jumlah pekerja.
Wanita mendapat gaji lebih banyak berbanding lelaki di sesetengah bandar di AS,
Di bandar mana?
Jacksonville, North Carolina, muncul sebagai bandar utama yang mana wanita memperoleh pendapatan median tertinggi berbanding lelaki.
Di bandar berkenaan, 36 peratus daripada populasi pekerja adalah wanita sepenuh masa, dengan golongan tersebut memperoleh 20.55 peratus lebih banyak daripada lelaki.
Walaupun perbezaan ketara, gaji di Jacksonville lebih rendah berbanding kebanyakan tempat lain, dengan wanita memperoleh sekitar $32,768 (kira-kira RM146,000) setahun, manakala lelaki memperoleh $27,181 (kira-kira RM121,000) sebelum cukai.
Bandar kedua menunjukkan wanita menerima pendapatan lebih tinggi adalah Sun City, Arizona, apabila wanita memperoleh $58,109 (kira-kira RM258,000) setahun, berbanding $48,582 (kira-kira RM216,000) yang diterima lelaki, mewakili perbezaan sebanyak 19.61 peratus.
Tempat ketiga diduduki oleh Chamblee, Georgia, dengan wanita memperoleh 18.95 peratus lebih banyak daripada lelaki, iaitu $58,590 (kira-kira RM261,000) berbanding $49,256 (kira-kira RM219,000).
Selain itu, bandar-bandar lain yang turut mencatatkan wanita memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding lelaki termasuk Carbondale, Illinois (8.42 peratus); Ives Estate, Florida (7.54 peratus); Vero Beach South, Florida (7.26 peratus); Laurel, Maryland (6.25 peratus); Pahrump, Nevada (5.47 peratus); Goleta, California (5.12 peratus) dan Desert Hot Springs, California (4.27 peratus).
Kajian itu menunjukkan bahawa di sesetengah bandar di AS, wanita kini mendapat gaji lebih banyak berbanding lelaki, menandakan perubahan dalam struktur pekerjaan dan pencapaian kewangan.
Namun, jurang gaji antara jantina masih menjadi isu penting yang perlu ditangani, terutamanya di tempat-tempat yang mana lelaki masih mendominasi pendapatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram