'Doakan saja perkara baik', kaki 'claim' tidak akan mampu laksana amanah seterusnya


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Kerja keras orang lain tidak boleh dikredit atas usaha diri kita sendiri. — Gambar hiasan/FreePik

KEJAYAAN dalam sesuatu perkara yang sering kali disifatkan bermaruah adalah melalui hasil titik peluh sendiri dengan tanpa bantuan orang lain.

Namun, terdapat juga sesetengah kes yang mana, seseorang individu didakwa meraih sesuatu kejayaan menerusi usaha keras orang lain.

Bukan itu sahaja, individu terbabit mendakwa konon dirinya sebagai penyumbang utama dalam sesuatu tugasan tersebut.

Umpama lembu punya susu, sapi dapat nama. Demikian pepatah yang sesuai dikaitkan dengan individu terbabit kerana mengambil kredit atau 'claim' atas perkara yang dilakukan orang lain.

Hasilnya, individu tersebut mungkin menganggap perkara itu dapat mengharumkan namanya, memperoleh kenaikan pangkat dan gaji serta kebaikan lain.

Ini seterusnya mungkin akan mengakibatkan orang lain yang selayaknya mendapat kebaikan itu akan berasa dianiaya, seterusnya menimbulkan perasaan dendam.

Tampil mengulas, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, situasi tersebut selalunya berlaku dalam alam pekerjaan.

Sebagai contoh, kata Mufti Terengganu itu, seorang individu mendapat kenaikan pangkat atas sesebuah kejayaan.

"Sedangkan ia hasil usaha dan hak orang lain. Kita tak bolehlah 'claim' kejayaan itu sebagai usaha kita sendiri.

"Tetapi, kalau ia hasil daripada orang lain dan dia pun mengizinkan kepada kita, mungkin boleh dianggap sebagai hibah," katanya kepada Majoriti.

Mohamad Sabri juga tidak menolak kemungkinan, individu yang gemar 'claim' hasil kerja orang lain tidak mampu melaksanakan amanah atau tugasan seterusnya.

Katanya, ia merupakan salah satu akibat yang perlu diterimanya.

"Sekiranya amanah (tugasan) itu diberi kepada orang yang bukan ahli (selayaknya), maka jadilah kiamat atau tunggu kehancurannya.

"Ini bermaksud akan terjadi sesuatu beban atau malapetaka di kemudian hari," katanya.

Ketika ditanya tentang perkara yang perlu dilakukan oleh mangsa, beliau berkata, dia hanya perlu berdoa perkara yang baik.

Apatah lagi, katanya, ALLAH SWT akan menurunkan rezeki yang baik sekiranya doa dipinta merupakan perkara baik.

"Kita kena ingat, doa orang yang teraniaya tiada hijab dan senang dimakbulkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram