BANYAK kisah dan pengalaman dikongsi oleh orang awam berhubung servis hospital kerajaan, tidak kiralah dari segi luahan masyarakat mengenai masa menunggu terlalu lama sehingga ke layanan kakitangan yang disifatkan kurang mesra.
Terbaharu seorang pengguna media sosial, Mukmin Nantang berkongsi pengalamannya di hospital kerajaan yang terletak di Semporna, Sabah dan dia mempersoalkan mengenai sistem pembayaran tunai yang disifatkan tidak mesra pengguna.
Isu yang dihadapi Mukmin itu berbangkit apabila dia terpaksa membayar RM3,943.00 secara tunai untuk membantu seorang wanita tanpa kewarganegaraan bersalin di hospital itu.
"Saya tidak faham hospital di Malaysia ni masih perlu bayar pakai tunai. Bayangkan seorang ibu stateless (tanpa kerakyatan) ini terpaksa bayar RM3,943.00 secara tunai.
"Bayangkan nasib stateless bayar mahu RM4,000 untuk lahirkan anak. Mereka tidak boleh keluar jika tidak langsaikan bayaran," katanya.
Luahan dari Mukmin Nantang berhubung sistem pembayaran di hospital kerajaan.
Menurutnya, sebuah hospital kerajaan seharusnya menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan bayaran kerana tidak semua orang akan membawa tunai dalam jumlah yang banyak terutama pada masa kini.
Masalah itu lebih merumitkan lelaki itu apabila pada Isnin perkhidmatan sistem Maybank tergendala ekoran masalah teknikal yang dihadapi oleh bank itu.
"Kita setuju untuk bantu bayar tapi masalahnya mesti pakai tunai. Maybank tengah 'floating' dan kaunter bank di daerah Semporna ni sangat penuh hari ini.
"Empat ribu itu takkan tidak boleh guna 'online transfer' atau debit kad? Aduh," luahnya.
Perkongsiannya itu mendapat banyak persetujuan dari pengguna Facebook lain dan menyifatkan sistem yang digunakan oleh kerajaan masih lapuk dan tidak mengikut peredaran situasi masa kini.
Majoriti kini menunggu maklum balas dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram