ALLAH tak ampunkan dosa orang berhutang meskipun mati syahid


  • Mukmin
  • Sabtu, 26 Feb 2022

RASULULLAH SAW mengingatkan umat Islam meskipun seseorang mendapat kedudukan syahid, semua dosanya boleh diampunkan ALLAH SWT melainkan hutang. — Gambar hiasan

RASULULLAH SAW berpesan kepada para sahabat agar segera menunaikan hutang, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu menerusi perkongsian di laman Telegramnya berkata, hal ini kerana ia dibimbangi akan menyebabkan perhitungan amalan seseorang tidak akan selesai selagi hutangnya tidak dilunaskan.

Sabda Rasulullah SAW: “Jiwa (roh) seorang mukmin itu akan tergantung disebabkan hutangnya sehinggalah hutang tersebut diselesaikan,” Hadis Riwayat al-Tirmidzi

Menurut al-Imam al-Suyuti, roh yang tergantung adalah roh yang terkurung sehingga hutangnya diselesaikan.

Dalam hadis lain, Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam meskipun seseorang mendapat kedudukan syahid, semua dosanya boleh diampunkan ALLAH SWT melainkan hutang.

Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH SWT mengampunkan semua dosa yang pernah dilakukan oleh seseorang yang mendapat mati syahid melainkan hutang,”Hadis Riwayat Muslim

Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW juga mengajar umat Islam supaya sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT untuk dipermudahkan urusan mereka dalam perkara berkaitan hutang.

“Maka amalkanlah doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW ini:

اللهُم إِنِي أعُوذُ بِك مِن الهمِ والحزنِ وأعُوذُ بِك مِن العجزِ والكسلِ وأعُوذُ بِك مِن الجُبنِ والبُخلِ وأعُوذُ بِك مِن غلبةِ الدينِ وقهرِ الرِجالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram