Bantuan kecil di dunia, tapi ganjaran besar di akhirat


  • Mukmin
  • Isnin, 14 Mac 2022

MEMBERI pertolongan kecil kepada orang lain di dunia akan diberi ganjaran besar oleh ALLAH SWT di akhirat. — Gambar hiasan

SIAPA sangka perkara kecil seperti menolong orang lain mengangkat barang, jadi penunjuk jalan, memberi nasihat, membuang sampah, tolong beli makanan dan sebagainya akan diberi ganjaran besar oleh ALLAH SWT. Apatah lagi membantu dalam perkara yang besar.

Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dicintai ALLAH adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, dan amal yang paling dicintai ALLAH adalah kebahagiaan yang engkau masukkan kepada diri seorang Muslim," Hadis Riwayat Tabrani

Namun, Asma' Harun berkata, jika dilihat situasi sekarang, ada yang seolah-olah hidup dengan urusan masing-masing serta kurang peduli dengan orang sekeliling.

Pendakwah bebas itu berkata, perkara itu tanpa sedar menjadikan hubungan semakin renggang sekalipun tinggal di bawah satu bumbung.

"Kita sangka urusan orang lain tak ada kaitan dengan hidup kita. Dia dia, aku aku, mungkin kita lupa di dalam Islam amat besar kelebihan mereka yang memudahkan urusan orang lain," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Siapa membebaskan seorang Mukmin daripada kesulitan dunia, maka ALLAH SWT akan membebaskannya daripada kesulitan pada hari kiamat," Hadis Riwayat Ahmad

Asma' Harun berkata, umat Islam tidak mengetahui amalan mana yang diterima ALLAH SWT untuk memasukkan mereka ke dalam syurga-Nya.

Maka, beliau menasihati umat Islam supaya menggunakan setiap peluang dan kudrat pada masa ini untuk memperbanyakkan amal.

"Semua ini termasuk dalam amalan menggembirakan hati orang lain.

"Semoga kita tergolong bersama mereka yang ALLAH cintai lalu dimudahkan perjalanan kita sepanjang di Mahsyar hingga ke syurga-Nya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tolong, bantu, ganjaran, akhirat, ALLAH SWT, syurga