MENJADI lumrah apabila membawa kanak-kanak ke masjid pasti ada segelintir pihak terutamanya orang dewasa yang tidak gemar dengan kehadiran mereka di rumah ALLAH itu.
Bagi orang dewasa, kanak-kanak yang ke masjid hanya tahu berbuat bising dan bermain bersama rakan lain sehingga mengganggu jemaah untuk menunaikan solat.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Shahrul Hisham yang mana sebuah video menunjukkan sekumpulan kanak-kanak ditolak dengan kuat oleh seorang jemaah masjid.
Rakaman video jemaah berkenaan menolak sekumpulan kanak-kanak.
Menurutnya, alasan lelaki berkenaan menolak kanak-kanak tersebut dipercayai kerana mengganggu khusyuk jemaah ketika sedang solat berjemaah.
Namun bagi warganet, tindakannya itu tidak wajar kerana orang dewasa sepatutnya mengalu-alukan kanak-kanak ke masjid dan bukannya hadirkan rasa benci mereka terhadap rumah ALLAH.
Seperti apa yang pernah dilaporkan Majoriti sebelum ini, Mufti Pahang, Prof Adjung Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkata, orang-orang dewasa sepatutnya mengalu-alukan dan mengajak kanak-kanak ke masjid kerana jika dilatih dari kecil ia akan membantu membentuk peribadi yang baik.
Malah tidak kurang juga ada yang membandingkan sikap lelaki tersebut dengan Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda sangat kasihkan kanak-kanak.
“Masa Nabi solat, cucu Baginda main-main sampai naik atas tubuh Baginda. Tiada Baginda nak marah.
“Pakcik dalam video ini sah masuk Syurga ke sampai terajang anak orang. Pakcik tahu tak generasi ini yang akan penuhkan saf nanti,” kata Shahrul Hisham.
Ramai berharap agar pihak surau atau masjid memandang serius mengenai hal itu dan mereka mencadangkan jika tidak mahu gangguan, jemaah boleh memaklumkan kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka.
Sehingga kini, lokasi masjid dalam video tular itu belum dapat dikenal pasti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram