Sikap 'open minded' isu babak panas Zul Ariffin, 'Hentikan normalisasi dosa'


  • Mukmin
  • Isnin, 21 Mac 2022

MENERUSI video dimuat naik di laman Instagramnya, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon baharu, Siti Hariesa.

RAMAI yang kecaman namun tidak kurang ada segelintir warganet membela pelakon, Zul Ariffin yang mana baru-baru ini mencetus kontroversi dengan babak panas dalam sebuah drama terbaru yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan ini.

Antara babak yang mencuri tumpuan ialah ketika Zul merangkul badan pelakon wanita dan menggendongnya dari depan.

Sebilangan warganet menganggap adegan itu hanyalah lakonan sahaja dan masyarakat sepatutnya bersikap lebih terbuka dalam menerima babak-babak seperti itu kerana filem barat juga membuat aksi berkenaan.

"Islam ke tak Islam ke..itu cuma lakonan saja pun, be open minded la. Takkan korang sendiri tidak pernah buat adegan macam ini dengan pasangan? Otak akal dan fikiran itu buka luas sikit," kata pengguna Facebook, aineem92.

ss zul

TANGKAP layar ciapan yang dihantar oleh pengguna Twitter, brgsjks

"Orang Malaysia ni beria saja tidak sokong. Tapi tengok Netflix ulang-ulang cerita 365 hari. Sebulan 40 kali ulang-ulang Fifthy Shades of Grey. Setahun 1000 kali ulang tengok Titanic sampai setiap kali pergi karoake ulang-ulang lagu My Heart Will Go On banyak kali. Bila cerita Melayu buat, mula kait Islam. Dia yang Islam tengok cerita bukan-bukan tak nak fikir pula," tulis seorang pengguna Whatsapp.

Mengulas lanjut cara pemikiran 'open minded' segelintir umat Islam, pendakwah, Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata di laman Facebook, adalah amat membimbangkan jika orang Islam tidak sensitif dengan kemungkaran sehingga merasakan maksiat hanyalah perkara yang normal.

Pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah ﷺ menjawab: Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman.”(HR Ahmad dan Nasai’e)

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia itu, hadis berkenaan menggambarkan bahawa salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku.

"Seorang mukmin tidak seharusnya mengucapkan “Biarlah, dosa masing-masing” atau “kubur masing-masing” kerana ungkapan ini seolah menggambarkan bahawa kita tidak peka atau sensitif dengan dosa dan larangan ALLAH," katanya.

Dalam sebuah hadis lagi, Rasulullah SAW mengibaratkan bahawa jika orang mukmin melihat dosa ia akan berasa seperti duduk di bawah gunung.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.”(HR al-Bukhari)

"Lalu bagaimana kita melihat dosa kita dan kemungkaran di sekeliling kita?

"Apakah kita selesa dengan kemunculan elemen-elemen dosa yang dipersembahkan dalam industri lakonan tempatan? Atau apakah ini bekalan yang akan kita bawa bertemu dengan ALLAH nanti?," kata pendakwah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram