Orang Melayu perlekeh tanda kiamat, merekalah orang yang rugi


  • Mukmin
  • Ahad, 23 Jan 2022

MAHFODZ Mohamed berkata umur itu jangan disia-siakan sepanjang hayatnya dengan tidak melakukan amal-amal soleh malahan melakukan kejahatan dan kemungkaran maka ia akan menanggung kerugian yang besar di akhirat nanti. — Agensi

BARU-BARU ini media melaporkan kejadian tompokan salji di beberapa tempat di bahagian barat Gurun Sahara di barat laut Algeria menjadi perbincangan di kalangan umat Islam mengenai tanda-tanda kiamat.

Di sebalik hantaran mengenai tompokan salji itu, rata-rata umat Islam takut dengan hari kiamat yang semakin menghampiri namun tidak kurang juga segelintir masyarakat Melayu memberi komen seakan memperlekeh hari kiamat.

"Macam inilah, aku sebagai ahli kaji. Bumi berasa amat tertarik dengan pelbagai andaian. Jadi dengan ini aku juga tidak tahu nak cakap apa. Nak jelaskan apatah lagi memberikan kepastian. Biarlah apa pun yang terjadi. kita tiada daya untuk menghalangnya. kita hanya insan yang yang lemah. Jadi aku sarankan kita mengambil vitamin," kata pengguna Facebook, Zack Hazzakril Z Hamzah.

"Seronoknya ada salji. Hidup mesti diteruskan dan dajjal itu tidak payah tunggu dia pasti akan datang. Bersiap siaplah dan buat bodoh," komen pengguna Facebook, Wawa Amrullah.

"Tenang-tenang. Sempat lagi kita layan Gegar Vaganza. Chillax," kata pengguna Facebook, Mohammad Zulhafiz.

"Lambat lagi Imam Mahdi nak keluar kan," kata Muhammad Awwal Akhirun.

Dalam pada itu, umat Islam seharusnya memperbanyakkan amalan sebelum hari kiamat dan bukannya memperlekehkannya sebagaimana firman ALLAH SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Ketua Dewan Ulamak Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaman harakah daily berkata, kepada sesiapa yang ingin hidup bahagia di akhirat dan takut akan hisab pada hari kiamat yang amat terperinci serta azab seksa yang amat pedih, maka wajiblah dia mengawal, menjaga diri dan tindakannya semasa di dunia.

"Sebaiknya jika modal umur itu disia-siakan sepanjang hayatnya dengan tidak melakukan amal-amal soleh malahan melakukan kejahatan dan kemungkaran maka ia akan menanggung kerugian yang besar di akhirat nanti.

"Sebagai manusia perlulah mengambil masa untuk merenung dan memikirkan pada tiap-tiap hari bagi menghisab amal-amalnya. Alangkah baiknya jika ia mengambil masa sedikit ketika lapang dan ketika hendak tidur, merenung dan memikirkan tentang apa yang sudah dilakukan sepanjang hari itu," katanya.

Beliau turut menasihati bagi seorang mukmin yang melakukan kesalahan hendaklah memohon ampun kepada ALLAH serta bertaubat dan berazam untuk tidak melakukan dosa lagi.

Tambahnya juga, seorang mukmin itu perlu mengganti dosa yang dilakukan dengan melakukan amal-amal soleh seperti membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, banyak berpuasa sunat, banyak membaca Al-Quran dan bertadabur dengannya, solat tahajud dan lain-lain.

"Begitulah cara kita menghisab diri kita di dunia ini dengan penuh ketelitian. Kerana sesiapa yang menghitung dirinya di dunia ini akan dipermudahkan hisabnya di akhirat bahkan akan ada setengah orang yang akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tanda kiamat, ALLAH, Islam, Mahfodz Mohamed