PEGUAM bela hanya dibenarkan membela pesalah yang tidak bersalah, tegas Ustaz Azhar Idrus.
Pendakwah bebas itu berkata, ada segelintir kes yang mana seseorang yang melakukan jenayah mengupah seorang peguam bela sehingga dia didapati tidak bersalah.
Katanya, sekiranya perkara itu berlaku, maka hasil pendapatan peguam bela itu dianggap haram dalam Islam.
"Kalau dia (peguam bela) yakin orang ini tidak bersalah dan dia bela orang ini, maka halal pendapatannya.
"Tapi kalau dia yakin orang inilah yang bunuh orang itu, tapi dia bijak dan akan ubah fakta supaya orang ini tidak nampak membunuh dan akhirnya dibebaskan, dia dipanggil bertolong-tolong atas perkara zalim. Tidak boleh," katanya menerusi perkongsian video di laman TikTok.
Meskipun Azhar Idrus tidak merujuk kepada mana-mana kes perbicaraan, tetapi rakyat Malaysia ketika ini tertumpu kepada kes penderaan melibatkan seorang kanak-kanak dan pemilik rumah kebajikan.
Terdahulu, seramai 10 peguam bela mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang juga orang kena tuduh (OKT) ketika perbicaraan kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU), Bella.
Perkara itu mendapat kecaman oleh rata-rata rakyat di negara ini yang tidak berpuas hati selain menganggap peguam-peguam terbabit menyokong kekejaman yang dilakukan ke atas Bella, meskipun mahkamah masih belum menetapkan Siti Bainun sebagai bersalah.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ini, tanda pagar #justiceforbella sedang trending di media sosial susulan kegigihan rakyat di negara ini yang mahu mendapatkan keadilan buat kanak-kanak tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram