Suami alami serangan jantung mengejut, tindakan pantas isteri bantu kurangkan risiko


  • Sihat
  • Selasa, 25 Nov 2025

Perkongsian itu menjadi pengajaran penting bahawa serangan jantung tidak semestinya disertai sakit dada. — Gambar hiasan

TINDAKAN pantas seorang isteri berjaya menyelamatkan suaminya daripada risiko serangan jantung yang lebih serius.

Berkongsi kejadian itu di Threads, wanita tersebut berkata, suaminya mula mengalami rasa pening dan mual kira-kira pukul 1 pagi.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, ketika cuba duduk di sofa, suaminya terjatuh namun tidak pengsan.

BACA LAGI: Jangan abaikan tanda awal, serangan jantung ‘pembunuh senyap’ lelaki — Pakar

BACA LAGI: Kematian akibat sakit jantung didominasi lelaki, ini 5 tip penjagaan organ penting tubuh

 

 

“Selepas jatuh, beliau mengalami peluh sejuk yang banyak, rasa nak muntah dan sejuk seluruh badan.

"Saya tidur di tingkat atas, jadi dia tak dapat kejutkan saya,” kongsinya.

Ujar wanita itu lagi, selepas berehat seketika, suaminya bangun dan naik ke tingkat atas, tetapi masih rasa sangat pening, lalu mengejutkannya untuk segera mendapatkan bantuan.

Beliau kemudian mendapati suaminya pucat, tangan dan kaki sejuk serta lembap selain mengadu lenguh di bahagian belakang bawah bahu dan mual, namun tidak mengalami sakit dada.

Wanita berkenaan segera membawa suaminya ke sebuah hospital di bahagian kecemasan dan trauma sekitar pukul 2.15 pagi.

"Pemeriksaan mendapati tekanan darah rendah (91/60 mmHg) dan degupan jantung perlahan (57/min), manakala ECG (elektrokardiogram) menunjukkan Acute MI.

"Ujian darah juga menunjukkan fungsi buah pinggang menurun dan tahap Troponin T meningkat, menandakan serangan jantung telah memberi kesan pada jantung dan buah pinggang," ujarnya.

Doktor kemudian memaklumkan bahawa suaminya mengalami serangan jantung yang boleh mengancam nyawa.

Menurut si isteri lagi, suaminya dipindahkan dengan ambulans ke pusat jantung kira-kira pukul 3.30 pagi.

Di situ, pelbagai langkah rawatan diambil, termasuk beberapa suntikan untuk membuka saluran tersumbat, namun gagal.

"Suami saya menjalani Percutaneous Coronary Intervention (PCI) atau lebih tepat 'rescue PCI', untuk membuka saluran arteri jantung yang tersumbat.

"Prosedur itu berjaya membuka saluran arteri kanan (RCA) yang 100 peratus tersumbat, manakala dua lagi saluran tersumbat 75 hingga 80 peratus tetapi tidak memerlukan stent," ceritanya.

Selepas prosedur, ujar beliau, suaminya ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum dipindahkan ke wad pemulihan jantung keesokan harinya.

Menurut beliau, suaminya sebelum ini tidak mempunyai sejarah tekanan darah tinggi, diabetes atau penyakit jantung dalam keluarga, tetapi merupakan perokok ringan, kurang bersenam dan mempunyai kolesterol sedikit tinggi.

Wanita tersebut turut menekankan kepentingan tindakan segera dalam tempoh dua jam pertama simptom.

“Dalam tempoh ini, kerosakan pada sel otot jantung dapat diminimumkan.

"Semakin lambat, risiko jangka panjang meningkat,” katanya.

Kejadian itu menjadi pengajaran penting bahawa serangan jantung tidak semestinya disertai sakit dada.

Sebaliknya tanda-tanda seperti pening, mual, peluh sejuk, lenguh badan atau rasa tidak selesa di bahagian belakang perlu diberi perhatian segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram