Kematian akibat sakit jantung didominasi lelaki, ini 5 tip penjagaan organ penting tubuh


  • Sihat
  • Ahad, 02 Okt 2022

Selain itu, terdapat pelbagai faktor risiko dikaitkan dengan masalah kesihatan jantung seperti obesiti, kurang bersenam, tabiat merokok, diabetes, darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi

STATISTIK bagi tahun 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penyakit jantung atau khususnya ischaemic heart disease adalah punca kematian paling tinggi negara dengan 17 peratus atau 18,000 kematian di seluruh negara.

Menurut, Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Dr Nor’Aishah Abu Bakar, lelaki mendominasi kematian akibat penyakit jantung dengan 70 peratus berbanding 30 peratus dalam kalangan wanita.

“Selain itu, terdapat pelbagai faktor risiko dikaitkan dengan masalah kesihatan jantung seperti obesiti, kurang bersenam, tabiat merokok, kencing manis (diabetes), darah tinggi dan paras kolesterol tinggi,” katanya pada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-09-29 at 11.38.04

Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata, tabiat merokok menyumbang kepada penyakit jantung yang akan memberikan komplikasi buruk.

Jelas Dr. Nor’Aishah lagi, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 yang dijalankan Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan, satu daripada lima rakyat Malaysia menghidapi penyakit kencing manis.

Selain itu, 30 peratus dari seluruh rakyat Malaysia menghidapi darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi.

Kedaan ini menunjukkan situasi lebih serius apabila 50 peratus rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan.

Tabiat merokok juga menunjukkan prevalence yang tinggi dengan satu dari lima rakyat Malaysia adalah perokok dan ia dilihat menyumbang kepada penyakit jantung yang akan memberikan komplikasi buruk kepada individu dan negara.

Sementara itu, Dr Nor’Aishah turut berkongsi lima tip penjagaan jantung sempena Hari Jantung Sedunia bagi tahun 2022.

Lima tip tersebut ialah:

  1. Jaga diet, kurangkan makanan berlemak, bergoreng, bersantan dan yang manis.
  2. Kekal aktif sama ada di rumah, ataupun di tempat kerja.
  3. Kekalkan berat badan unggul.
  4. Jangan merokok. Sila berhenti merokok jika anda seorang perokok.
  5. Uruskan stres dengan baik dan sekiranya anda berasa sangat tertekan, sila dapatkan bantuan dengan segera.

Untuk makluman 29 September merupakan tarikh bagi meraikan Hari Jantung Sedunia.

Bagi tahun ini, temanya ialah 'Use heart for every heart'. Seiring dengan jantung sebagai organ penting dalam tubuh, tema use heart ini membawa mesej mempromosikan keperluan bagi setiap individu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram