Engku Emran sebak kenang momen keluar makan berdua dengan Aleesya, meja sebelah keluarga lengkap


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Emran mengakui, dirinya mudah menjadi emosi setiap kali bercakap tentang anak tunggalnya itu. — Instagram/aintmeemrawnoon

BEKAS suami kepada pelakon dan penyanyi, Erra Fazira iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin berkongsi luahan hati mengenai hubungan dan perasaannya terhadap anak perempuan mereka, Engku Aleesya, 16.

Menurut Emran, dirinya mudah menjadi emosi setiap kali bercakap tentang anak tunggal itu, apatah lagi ketika perlu menyampaikan ucapan pada hari istimewa Aleesya baru-baru ini.

Ujarnya, saat berdiri di hadapan anaknya untuk berucap, emosi yang berat seolah-olah tidak mampu lagi ditahan.

BACA LAGI: Aleesya dapat 7A peperiksaan IGCSE, Erra Fazira, Engku Emran buktikan 'co-parenting' berjaya didik anak

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak hanya cemerlang akademik, Engku Aleesa kini penulis muda, lancar buku kanak-kanak bertemakan nilai murni Fatimah az-Zahra

“Tidak ramai yang boleh membuatkan saya menitiskan air mata, tetapi dengan Aleesya, saya sentiasa rasa seperti telah gagal sebagai seorang bapa,” luahnya menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Isnin.

Jelas ahli perniagaan itu, setiap bapa mengimpikan rumah yang bahagia, stabil dan penuh kasih sayang untuk anak-anak mereka.

Meskipun Aleesya membesar dengan segala keperluan material yang mencukupi, Emran mengakui ada kekosongan lain yang sukar diisi selepas beliau dan Erra Fazira berpisah.

Beliau turut menjelaskan, sejak beberapa tahun lalu, beliau reda menerima bahawa perpisahan adalah jalan yang ditentukan oleh ALLAH SWT buat mereka.

Namun, setiap kali keluar makan bersama Aleesya, hati Emran sayu melihat keluarga lengkap duduk berdekatan, kerana situasi itu sering mengundang rasa sebak dalam diri dan juga anaknya.

“Saya dapat rasa kesedihannya setiap kali keadaan itu berlaku, kerana jiwanya sama seperti saya,” katanya.

Dalam pada itu, Emran juga menitipkan pesanan kepada pasangan yang masih berpeluang menyelamatkan rumah tangga agar berusaha sedaya upaya sebelum membuat keputusan untuk berputus asa.

“Beri satu sama lain peluang lagi, peluang tambahan (atau) apa sahaja, tidak mengapa.

"Anak anda layak mendapat setiap usaha itu. Jangan mudah mengalah kerana percayalah, anda tidak mahu memikul kesakitan yang saya tanggung,” ungkap beliau.

Erra Fazira dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007, namun bercerai pada Februari 2014. Mereka dikurniakan anak perempuan, Engku Aleesya kini berusia 16 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram