SEBELUM bergelar usahawan, Siti Shafurah Abas sebenarnya mempunyai laluan kerjaya yang stabil.
Anak jati Bangi, Selangor itu pada asalnya merupakan pegawai dietetik di sebuah hospital kerajaan pada 2007 hingga 2009 sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana.
Pernah seketika menabur khidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti awam pada 2011, beliau kemudian memutuskan untuk berhenti selepas merasakan kerjaya itu menuntut masa sehingga menjejaskan tumpuan terhadap keluarga.
BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal
Apatah lagi, ketika itu anak sulungnya yang berusia lima tahun turut berdepan masalah kelewatan pertuturan (speech delay).
"Saya bekerja dari pagi hingga malam dan jarang ada masa untuk anak-anak.
"Saya sedar saya perlu berhenti dan melakukan sesuatu yang sesuai dengan minat dan dalam masa sama perhatian terhadap keluarga tidak diabaikan,” katanya kepada Majoriti.
Berbekalkan latar belakang dalam bidang dietetik serta minat mendalam terhadap penyusuan dan pemakanan bayi, beliau melihat keperluan untuk membuka kedai khusus yang menyediakan produk serta pendidikan kepada ibu bapa.
Beliau bagaimanapun sebelum itu pernah menceburi pelbagai bidang perniagaan termasuk penjualan produk kegunaan harian, suplemen, produk kesihatan, produk telekomunikasi dan membuka syarikat percetakan berskala kecil.
Selain itu, Siti Shafurah juga pernah berniaga telekung, menjual baju raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, selain menjual pelbagai barangan di stadium dan ekspo.
Justeru terdorong dek minat terhadap dunia keusahawanan, maka terlahirlah Butik Tateh, yang pertama kali dibuka pada Mac 2012 dengan modal permulaan sekitar RM200,000 hasil simpanannya sejak bergelar mahasiswa.

Siti Shafurah memiliki latar belakang dalam bidang dietetik serta minat mendalam terhadap penyusuan dan pemakanan bayi.
Seperti diduga, langkah meninggalkan kerjaya stabil dan 'merisikokan' diri dalam bidang perniagaan kurang dipersetujui keluarga yang kebanyakannya berkhidmat dalam sektor kerajaan.
"Saya memang dapat kerjaya sebagai pensyarah yang ramai orang mahu, tetapi ketika itu saya memang perlukan masa bersama keluarga.
"Bayangkan, anak speech delay tetapi mak asyik sibuk bekerja. Saya fikir, tak boleh terus macam ini.
"Jadi saya buat keputusan berhenti dan lakukan sesuatu yang kena dengan minat iaitu bisnes," ujar ibu kepada empat anak itu.
Meski kurang bersetuju pada awalnya, keluarga mula menerima keputusan Siti Shafurah selepas melihat perniagaannya menunjukkan peningkatan.

Perubahan tingkah laku pengguna ke arah pembelian dalam talian sejak 2020 membawa Butik Tateh ke fasa baharu.
Kecewa
Sebelum menubuhkan Butik Tateh, Siti Shafurah yang juga dikenali sebagai Wana Abas sempat berkongsi tentang pengalaman membeli barangan penyusuan di kedai yang sering kali mengecewakan.
Luah beliau, ada kalanya pelanggan perlu menghadapi kakitangan yang kurang arif, malah kadangkala kesemua pekerja di kaunter adalah lelaki.
"Agak sukar untuk ibu-ibu mendapatkan jawapan tepat tentang penyusuan dan keperluan bayi," ungkapnya.
Menyedari kekosongan itu, Siti Shafurah mengambil inisiatif menubuhkan butik khusus yang menyediakan bukan sahaja barangan ibu dan bayi, tetapi juga memberi pendidikan dan maklumat lengkap tentang penyusuan serta pemakanan bayi.
Konsep itu nyata berjaya menarik perhatian ramai.
Menariknya, pelanggan tidak hanya datang dari kawasan sekitar tetapi ada juga yang sanggup datang dari jauh seperti Johor, Melaka dan Terengganu semata-mata untuk mendapatkan panduan tepat perihal bayi.
"Kebanyakannya cakap di kedai lain, tiada siapa yang dapat menjawab persoalan mereka dengan memuaskan," jelasnya.
Kongsi Pengurus Operasi Tateh Nurture Sdn. Bhd., itu, Butik Tateh berkembang pesat dengan pembukaan sehingga 21 cawangan sebelum pandemik Covid-19.
Peningkatan itu jelasnya, hasil penerimaan pelanggan terhadap konsep butik yang bukan sahaja menjual barangan bayi tetapi menawarkan ilmu penyusuan, keselamatan bayi dan kelas berkaitan keibubapaan.

Siti Shafurah turut menjalankan sesi latihan dan bengkel bisnes.
Pendidikan
Bagaimanapun, perubahan tingkah laku pengguna ke arah pembelian dalam talian sejak 2020 membawa Butik Tateh ke fasa baharu.
"Selepas tengok keadaan tersebut, saya fikir ada keperluan untuk kami kecilkan premis fizikal dan fokus bisnes dalam talian," ceritanya yang turut menjalankan sesi latihan dan bengkel bisnes kepada usahawan.
Ujar anak keempat daripada tujuh beradik itu, selepas lebih sedekad, syarikat beralih pada model Tateh 2.0, yang menumpukan 80 peratus terhadap pendidikan dan 20 peratus lagi produk.
Bercerita lanjut mengenai model baharu itu, kongsi Siti Shafurah, antara fokus utama ialah program perkembangan otak kanak-kanak, khususnya berkaitan isu neurodivergent seperti autisme serta kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
"Gangguan ini menunjukkan peningkatan dalam kalangan kanak-kanak bandar akibat pendedahan gajet terlalu awal dan kekurangan masa berkualiti bersama ibu bapa.
"Untuk sekarang Tateh menganjurkan kelas sebanyak dua kali sebulan, selain bekerjasama dengan lebih 30 tadika.
"Kami juga kini melaksanakan program Kids Play Right, yang menekankan kepentingan bermain sebagai asas perkembangan kognitif anak dan berjaya menarik lebih 300 ibu bapa setakat ini," ujarnya yang menyasarkan 100 kerjasama bersama tadika dalam tempoh dua tahun.
Siti Shafurah yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Nutrisi Klinikal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, memberitahu, 60 peratus ibu bapa di bandar kini menjalankan dua pekerjaan.
Itu katanya, menyebabkan masa untuk anak menjadi sangat terhad.
"Biasa mereka akan bagi telefon pintar kepada anak, namun kesannya anak berisiko mengalami masalah pembelajaran.
"Melalui kempen ini, kami mahu membantu mereka memahami power of play dan bagaimana permainan yang tepat boleh membentuk struktur otak anak dari usia bayi hingga enam tahun,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
