[VIDEO] Bayi 3 tahun 'pergi' dalam dakapan bapa, ibu masih di ICU, keluarga mohon saksi kemalangan di Kuala Pilah tampil bantu siasatan


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Kanak-kanak terbabit dipercayai menghembuskan nafas terakhir dalam dakapan bapanya. — TikTok/flicksbyselections

WAKIL keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Kuala Pilah-Melang, Negeri Sembilan, berhadapan sebuah stesen minyak di sini, pada 21 November lalu memohon agar saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Kemalangan kira-kira pukul 3.35 petang itu mengakibatkan seorang budak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia, manakala pemandu juga bapa kepada kanak-kanak berkenaan, ibu dan seorang anak saudara perempuan masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. 

Dalam perkembangan sama, wakil keluarga mangsa melalui hantaran di TikTok memohon orang ramai yang menjadi saksi atau memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat kepada balai polis berdekatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Suami isteri maut, bayi 6 bulan cedera nahas di Kota Tinggi

BACA LAGI: 'Mereka best friend, selalu jemaah di Masjid Sadaka', 2 kanak-kanak maut basikal dirempuh kereta di Yan

Difahamkan, bapa mangsa patah kaki kiri, patah tulang pinggul, patah tulang rusuk kedua hingga ketujuh dan pendarahan serta beberapa jahitan pada kepala.

Sementara ibu mangsa pula patah kedua-dua kaki, pendarahan pada kepala dan dalam perut dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang, Selangor.

Mangsa meninggal dunia beberapa jam selepas kemalangan ketika menerima rawatan di HTAN.

Keadaan mangsa seperti yang dikongsikan oleh ahli keluarga mereka di media sosial.

Lebih memilukan, kanak-kanak terbabit dipercayai menghembuskan nafas terakhir dalam dakapan bapanya.

"Sehingga hari ini, ibu (mangsa) belum tahu anaknya meninggal dunia kerana keadaan masih belum stabil.

"Setiap kali ibu buka mata, soalan yang berulang kali dia tanya... 'Fafa macam mana?'" ujarnya.

Difahamkan juga, bapa kepada kanak-kanak berkenaan baru sahaja kehilangan bapanya dua bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin memaklumkan, kemalangan itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban, Negeri Sembilan.

Kejadian pada Jumaat itu membabitkan dua buah kereta Perodua Bezza. —  Polis

Beliau berkata, kejadian tersebut membabitkan dua buah kereta jenis Perodua Bezza.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kenderaan dipandu seorang lelaki bersama isteri, anak perempuan berusia tiga tahun serta anak saudara perempuan dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.

"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan dikatakan hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta dinaiki sekeluarga terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram