Jangan abaikan tanda awal, serangan jantung ‘pembunuh senyap’ lelaki — Pakar


  • Sihat
  • Ahad, 06 Apr 2025

Nico (gambar kecil) meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung mengejut ketika tidur pada Sabtu.

NEGARA pada Sabtu dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi rap terkenal era 90-an, Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 53, yang meninggal dunia dalam tidur. 

Sumber terdekat memaklumkan, dia dipercayai mengalami serangan jantung mengejut (cardiac arrest) ketika tidur.

Insiden itu mengimbau kembali kes serupa yang berlaku pada Februari lalu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin , meninggal dunia selepas rebah sewaktu bermain bola sepak ekoran daripada serangan jantung.

BACA LAGI : Pakar kriminologi bukan kerjaya untuk lelaki saja, Nadiah Syariani buktikan wanita mampu analisis isu kompleks jenayah

BACA LAGI : [VIDEO] Dakwa barang kemas arwah dicuri selepas kejadian, famili mangsa nahas Terowong Menora terkilan

Arwah Ishsam Shahruddin juga dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan dan menjaga kesihatan. 

Doktor Zaihasra Halil @Khalil

 

Menurut, pakar perunding perubatan, Doktor Zaihasra Halil @Khalil, kedua-dua kejadian itu memberi isyarat jelas bahawa serangan jantung bukan hanya berlaku kepada individu berusia lanjut atau tidak aktif. Malah, ramai lelaki kelihatan sihat di luaran tetapi menyimpan risiko tinggi tanpa disedari.

"Kebanyakkan golongan lelaki hari ini menjalani gaya hidup yang sibuk dan tidak menentu. Ada yang merokok, kurang tidur, kurang minum air kosong tetapi gemar mengambil minuman manis atau minuman tenaga. 

"Tidak kurang juga yang mempunyai perut buncit, BMI melebihi paras normal dan kerap berdengkur sewaktu tidur, sampai mengganggu tidur orang lain," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu. 

Jelasnya, kesemua tanda tersebut berpotensi besar menunjukkan sindrom metabolik yang boleh membawa kepada penyakit jantung. 

Oleh itu, saringan kesihatan berkala termasuk ujian jantung seperti exercise stress test dan Cardiac Imbasan Tomografi Berkomputer (CT)  sangat digalakkan, terutama kepada golongan lelaki bekerja, berusia pertengahan dan berisiko.

Batuk dan sakit dada merupakan tanda-tanda awal serangan jantung.— Gambar Hiasan

Menurut Zaihasra lagi, ramai yang memandang ringan tanda-tanda awal serangan jantung. 

"Ada yang rasa sakit dada, senak perut, sesak nafas atau peluh berlebihan, tapi memilih untuk berehat atau sapu minyak panas dan tidur. 

"Malangnya, ada yang tidak bangun lagi selepas itu. Serangan jantung tidak selalu muncul dengan tanda yang dramatik. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk yang sangat biasa seperti rasa letih yang luar biasa atau sesak nafas sewaktu tidur, terutama pada waktu tengah malam. 

"Jika anda tidak pernah ada masalah gastrik tetapi tiba-tiba mengalami senak perut dan sesak nafas di waktu malam, jangan tunggu dan terus ke jabatan kecemasan

"Kepada pengamal perubatan di klinik-klinik kesihatan, jika pesakit hadir dengan simptom senak perut dan sesak nafas, anggaplah ia sebagai potensi serangan jantung sehingga terbukti sebaliknya. 

"Jangan hanya memberikan ubat tahan sakit atau ubat gastrik. Lakukan electrocardiogram (ECG) segera dan jika ada keraguan, rujuk terus ke jabatan kecemasan," tegasnya.

Ishsam (gambar kecil) meninggal dunia ekoran sakit jantung ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, pada Februari lalu.

Jelasnya, kejadian yang berlaku kepada ADUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin turut membuka mata  bahawa kelihatan fit tidak semestinya sihat sepenuhnya. 

Katanya, tanpa pemeriksaan objektif, kita tidak tahu keadaan salur darah jantung kita. Ada sesetengah keadaan yang hanya boleh dikesan melalui CT scan atau angiogram.

"Saya pernah didatangi seorang pesakit yang marah apabila saya cadangkan ujian CT jantung untuknya, walaupun dia hanya datang kerana batuk. 

"Menurut pesakit, dia sihat, selalu hiking, lari marathon, dan tak mungkin ada masalah jantung. Tetapi keputusan ECG menunjukkan sesuatu yang tidak normal. 

"Bila ujian lanjut dijalankan, rupa-rupanya struktur salur darah jantungnya tidak normal – satu keadaan kongenital yang sangat berbahaya, yang boleh menyebabkan serangan jantung ketika bersenam. Setelah saya terangkan, barulah dia terdiam dan meminta maaf kerana melenting. Kini dia sedang menjalani rawatan dengan pakar jantung," ujarnya lagi. 

Menutup bicara, Zaihasra menasihati orang ramai terutama golongan lelaki sentiasa membuat pemeriksaan berkala.

"Kita tidak akan tahu apa yang berlaku di dalam tubuh kita selagi tidak membuat pemeriksaan. Jangan terlalu yakin bahawa kita sihat hanya kerana kita aktif. 

"Jangan tunggu sehingga gejala menyerang tanpa amaran. Sayangi diri, buat saringan awal kerana ia mungkin akan menyelamatkan nyawa," nasihatnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram