SEORANG individu menceritakan pengalaman menyaksikan kesunyian dialami ibunya selepas perubahan besar melanda keluarga mereka.
Berkongsi situasi itu di hantaran Threads miliknya, mirul_hzwn berkata, beliau pernah melalui fasa 'kehilangan' bapa selepas figura tersebut berkahwin lain.
Namun lebih merisaukan, beliau juga hampir kehilangan ibu bukan disebabkan kematian, tetapi dek kesunyian yang tidak pernah diluahkan wanita itu.
BACA LAGI: Gen Z mendefinisikan semula fesyen ‘modest’, buktikan gaya sopan pun boleh ‘stand out’
BACA LAGI: Waspada taktik penipuan 'Farid', menyamar jadi kaunselor konon nak bantu ibu ada masalah susu badan
"Saya membesar sebagai seorang yang penakut, penuh keraguan diri dan selalu rasa diri tak penting.
"Namun semuanya berubah apabila saya mula nampak kesunyian ibu sendiri.
"Perubahan hidup saya sebenarnya bermula selepas keluarga kami berubah," tulisnya pada Ahad.
Ujar individu berkenaan, selepas bapanya berkahwin lain, dunia si ibu menjadi kelam-kabut.
Luahnya, rumah yang dahulunya penuh gelak tawa bertukar sepi, sementara anak-anak pula semakin membesar dan sibuk dengan kehidupan masing-masing.
Pada ketika itu, beliau melihat kesunyian perlahan-lahan ‘memakan’ ibunya hingga mendorong wanita itu melakukan perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini.
“Saat itu saya sedar, kalau tak berubah, saya akan hilang ibu,” tulisnya.
Demi memastikan ibunya kembali bangkit, beliau mengambil langkah kecil termasuk mengajak ibunya keluar berjalan, memberi ruang untuk si ibu bertemu rakan, mengajaknya menyertai aktiviti komuniti dan sentiasa menjadi pendengar setia.
"Perlahan-lahan, sinar ibu saya mula kembali. Dari pengalaman tersebut, saya belajar wanita 50-an tidak perlukan simpati sebenarnya.
"Mereka hanya perlukan komuniti yang buat mereka rasa diperlukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
