
SERAMAI sembilan delegasi Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Misi yang melibatkan pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan itu berlepas dari Itali pada 27 September lalu menggunakan 10 bot, manakala kapal Conscience dilepaskan di Porto Otranto pada 30 September.
Namun, sembilan kapal yang menyertai misi tersebut dilaporkan telah dipintas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menghampiri perairan zon merah pada Rabu.
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
Perkara itu disahkan Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan bahawa kapal freedom flotilla telah dipintas pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.
Kerajaan Malaysia kini dilaporkan sedang memantau rapat penahanan sembilan rakyat Malaysia oleh rejim Zionis, termasuk lima wanita yang menjadi sebahagian daripada pasukan flotilla berkenaan.
Siapakah lima wanita hebat yang berdiri di bawah nama Freedom Flotilla?
1) Dr. Fauziah Hassan
Dr. Fauziah dan rakan-rakan misi pernah diculik tentera Zionis ketika berada hanya 35 batu nautika dari pantai Gaza.
Beliau merupakan pakar obstetrik dan ginekologi yang aktif dalam misi kemanusiaan di bawah MyCARE.
Menjadi wakil tunggal Malaysia yang menyertai misi Women’s Boat to Gaza (WBG) pada September 2016, Dr. Fauziah pernah menyertai beberapa misi antarabangsa termasuk ke Gaza, Syria dan kawasan konflik lain.
Dr. Fauziah dan rakan-rakan misi pernah diculik tentera Zionis ketika berada hanya 35 batu nautika (kira-kira 68.9 kilometer) dari pantai Gaza.
Beliau terkenal dengan ketegasan serta dedikasinya terhadap isu Palestin dan sering dijemput sebagai panel dalam forum kemanusiaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
2) Dr. Noorhasyimah Ismail
Penyertaan Dr. Noorhasyimah dalam misi flotilla ke Gaza mendapat sokongan KPT.
Dr. Noorhasyimah yang berkhidmat sebagai pensyarah akademik di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, turut aktif dalam gerakan kemasyarakatan melalui Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan MyCARE.
Beliau pernah dilantik sebagai penasihat akademik untuk program asasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur.
Penyertaannya dalam misi flotilla ke Gaza turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengiktiraf penglibatan ahli akademik dalam usaha kemanusiaan antarabangsa.
3) Norsham Abu Bakar
Norsham pernah mengumpulkan dana kira-kira RM500,000 untuk inisiatif kemanusiaan semasa misi wanita ke Gaza.
Setiausaha di Lembaga Pemegang Amanah MyCARE itu mempunyai pengalaman luas dalam gerakan kebajikan dan advokasi.
Aktivis itu memainkan peranan penting dalam menggerakkan sokongan rakyat Malaysia terhadap isu Palestin, selain aktif menyertai misi kemanusiaan antarabangsa termasuk MERCY Malaysia ke Kandahar, Afghanistan pada 2002.
Norsham juga merupakan ahli aktif sayap sukarelawan wanita bagi Aqsa Syarif, Rose2Rose (R2R) sejak penubuhannya pada 2012.
Pengurus di Pusat Penyokong Perkhidmatan Hospital Pakar An-Nur Hasanah Sdn. Bhd itu pernah mengetuai Women’s Center di Rafah dan Jabaliya, Gaza, pada 2012, menerajui inisiatif untuk membina pusat wanita dan membantu masyarakat wanita di kawasan konflik.
Ketika itu, beliau berjaya mengumpulkan dana kira-kira RM500,000 untuk inisiatif kemanusiaan semasa misi wanita ke Gaza.
4) Dr. Maziah Mohammad
Dr. Mazia dipilih untuk menyertai misi dan ditugaskan sebagai doktor di kapal layar Umm Saad.
Dr. Maziah kini berkhidmat sebagai doktor di jabatan kecemasan di salah sebuah hospital dekat Johor Bahru, Johor.
Beliau dipilih untuk menyertai misi dan ditugaskan sebagai doktor di kapal layar Umm Saad.
Beliau menyertai flotilla dengan misi memberikan sokongan perubatan kepada mangsa perang, selain membawa kepakaran dalam penjagaan kesihatan komuniti di kawasan konflik.
5) Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi
Beliau menyertai flotilla dan mewakili generasi muda Malaysia bagi membuktikan sokongan terhadap rakyat Palestin.
Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, Dr. Ili Syakira berpegang pada keyakinan terhadap kebebasan dan hak asasi rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
Kini beliau menetap di Barat Scotland, United Kingdom (uk) dan berkhidmat sebagai seorang doktor bertauliah.
Beliau menyertai flotilla dan mewakili generasi muda Malaysia bagi membuktikan sokongan terhadap rakyat Palestin.
Dr. Ili Syakira juga dikenali dalam kalangan sukarelawan MyCARE kerana komitmennya terhadap kerja lapangan termasuk perkhidmatan kesihatan untuk kanak-kanak dan wanita di kawasan terkesan perang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram