[VIDEO] Dua pereka industri muda cipta pen 'ajaib', bantu kurang risiko penyakit berjangkit dialami kanak-kanak


  • Sukses
  • Rabu, 08 Okt 2025

Ketika tampil dalam program Shark Tank pada 2022, mereka mencatatkan jualan lebih RM350,000 tanpa bajet pemasaran. — Agensi

DUA pereka industri dari India, Amanat Anand dan Shubham Issar, berjaya mencuri perhatian dunia apabila inovasi mereka, SoaPen, pen sabun berwarna-warni yang mengajar kanak-kanak mencuci tangan dengan betul, berkembang selepas muncul dalam rancangan realiti perniagaan Shark Tank.

Produk itu dihasilkan pada 2015 selepas mereka mendapati lebih 1.5 juta kanak-kanak mati setiap tahun akibat penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan amalan mencuci tangan.

SoaPen direka bagi menjadikan aktiviti membasuh tangan menyeronokkan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ikat' perut, tumpang bilik kecil di rumah keluarga ketika bisnes merudum, kini Caryn Law personaliti e-dagang berjaya

BACA LAGI: Diuji susah menetap di setinggan, Afidah Kamaruddin titip pesan, wanita jangan gentar berdiri di kerusi kepimpinan

Dengan alat itu, kanak-kanak boleh melukis pada tangan, manakala sabun hanya hilang selepas digosok sekurang-kurangnya 30 saat.

Idea inovatif tersebut membawa mereka menjuarai cabaran UNICEF Wearables for Good pada 2015, sekali gus menerima geran dolar Amerika Syarikat (AS) AS$15,000 (lebih RM60,000) untuk melancarkan percubaan awal kepada pengguna terpilih empat tahun kemudian.

Menurut Shubham, ramai ibu bapa berdepan cabaran untuk memastikan anak-anak mencuci tangan dengan betul.

Mengambil contoh pengalaman bersama anaknya sendiri, ujar beliau, mereka adakalanya hanya membuka paip dan berpura-pura membasahkan tangan tanpa menggunakan sabun.

"Mereka malah meninggalkan kesan air dan buih sabun berselerak, yang akhirnya akan dibersihkan oleh saya dan suami.

"Selain itu, mereka juga akan merungut kerana takut terlepas aktiviti bersama adik-beradik lain," katanya.

Kongsi beliau, terdapat dua jenis kanak-kanak iaitu yang suka mencuci tangan dan yang membencinya.

"Dengan SoaPen, misi kami adalah menjadikan semua kanak-kanak suka mencuci tangan dan memahami kepentingan kebersihan diri,” tuturnya.

Ramai ibu bapa berdepan cabaran untuk memastikan anak-anak mencuci tangan dengan betul. — Agensi

Shubham menjelaskan, kini SoaPen sudah menjadi salah satu alat dalam kit keibubapaan.

Menurutnya, ia mudah dimasukkan ke dalam beg sekolah anak-anak atau beg snek hujung minggu ketika keluarga keluar bersiar-siar di bandar.

"Formulanya juga tidak membahayakan, tidak bertoksik dan bebas daripada SLS (Sodium Lauryl Sulfate), paraben, bahan kimia phthalates serta sebarang produk sampingan haiwan.

“Lebih daripada 50 peratus penyakit berjangkit yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun boleh dicegah hanya dengan tindakan mudah mencuci tangan menggunakan sabun.

"Saya dan Amanat bertekad untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses pada tahap kebersihan yang baik,” jelasnya.

SoaPen dihasilkan Amanat (kiri) dan Shubhampada 2015 selepas mendapati lebih 1.5 juta kanak-kanak mati setiap tahun akibat penyakit berjangkit. — Agensi

Shark Tank

Ketika tampil dalam program Shark Tank pada 2022, mereka mencatatkan jualan AS$85,000 (lebih RM350,000) tanpa bajet pemasaran, dengan harga runcit AS$14.99 (lebih RM60) bagi tiga batang SoaPen.

Walaupun beberapa pelabur utama menarik diri, usahawan jemputan Nirav Tolia akhirnya menawarkan pelaburan dengan syarat pulangan royalti.

Selepas episod itu, SoaPen mendapat lonjakan besar, dengan stok habis terjual pada malam siaran, kedai rasmi di Amazon dilancarkan dan liputan media antarabangsa termasuk dalam Forbes serta Parents.

Sehingga kini, SoaPen masih beroperasi dengan pilihan produk termasuk pen sabun, stoking kanak-kanak dan buku bertajuk Alpy’s Sneeze: Learning the Power of Handwashing.

Pakej gabungan dan edisi terhad lima bauan sabun turut ditawarkan, namun stok baharu cepat habis dibeli pelanggan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram