PASUKAN keselamatan Israel menahan lebih 200 aktivis antarabangsa yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dalam usaha menembusi sekatan maritim ke Gaza, menurut jurucakap rasmi tentera Israel.
Aktivis terbabit berasal daripada sekurang-kurangnya 37 negara termasuk Sweden, Brazil, Perancis, selain 12 rakyat Malaysia.
Operasi pemintasan bermula lewat malam Rabu apabila tentera laut Israel menyerbu beberapa kapal dalam flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Antara rakyat Malaysia ditahan ialah Heliza Helmi bersama adiknya, Hazwani Helmi, Nurfarahin Romli, selebriti Zizi Kirana dan beberapa aktivis yang lain ketika serbuan dilakukan.
Sementara itu, wartawan Halim Mohamed yang pernah ditahan Israel pada tahun 2010 ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza melalui kapal kargo Rachel Corrie, berkongsi pengalaman getirnya sebagai gambaran awal apa yang mungkin dihadapi sukarelawan Malaysia pada ketika ini.
Menurut Halim, proses penahanan bermula dengan tentera Israel mengganggu sistem radar serta komunikasi kapal, sebelum menghubungi kapten dengan alasan pencerobohan perairan.
“Apabila arahan berpatah balik tidak dipatuhi, dua kapal perang mengepung Rachel Corrie sebelum bot tempur berisi komando bersenjata lengkap memaksa kami menyerah diri,” katanya melalui satu perkongsian di laman Facebook miliknya pada Khamis.
Halim dan rakan sukarelawan dikumpulkan dengan tangan di atas kepala sebelum kapal ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Mereka kemudian disoal siasat imigresen Israel.
"Tiada kekerasan fizikal digunakan, tetapi suara tinggi, nada tegas dan penggunaan maklumat peribadi yang lengkap di tangan pegawai mereka cukup menguji untuk memberi tekanan mental.
"Pada ketika itu saya benar-benar menyedari ujian yang paling besar bukanlah fizikal, tetapi dari segi psikologi," katanya lagi.
Halim yang juga pengarang media tempatan berkata, aktivis dari negara lain biasanya menerima bantuan diplomatik segera, tetapi enam rakyat Malaysia ketika itu tidak bernasib baik kerana ketiadaan hubungan diplomatik dengan Israel.
“Kami dibawa ke pusat tahanan dan ditempatkan berasingan dalam sel.
"Soal siasat masih diteruskan, kami juga didesak menandatangani dokumen dalam bahasa Ibrani, yang jelas berisiko tinggi jika dituruti dan mujur kami enggan berbuat demikian," ujarnya.
Selepas beberapa hari, bantuan hadir melalui pegawai kedutaan sebuah negara jiran ASEAN yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
"Ketika itu juga, saya difahamkan ada beberapa antara kami enam orang akan didakwa di mahkamah mereka termasuk Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Shamsul Akmal.
"Tiada perasaan ketika ini cuma Redha whats next. Akhirnya selepas beberapa hari ditahan, kami dimaklumkan pegawai kedutaan (negara jiran Malaysia) tadi yang telah diberi kebenaran untuk dilepaskan," ceritanya.
Perundingan itu akhirnya membawa kepada pembebasan mereka yang kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Jordan.
Mengimbau detik penuh emosi ketika disambut pegawai kedutaan di sempadan King Hussein di Jordan, Halim menegaskan pengalaman itu kekal menjadi ingatan pahit dalam perjuangan membela Palestin.
“Kepada semua pejuang Global Sumud Flotilla, terutamanya 12 rakyat Malaysia yang kini ditahan, doa kami sentiasa bersama kalian.
"Semangat kalian menjadi inspirasi untuk terus menyuarakan ketidakadilan yang berlaku di Gaza,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
