[VIDEO] 'Influenza is back!', ibu hamil, kanak-kanak antara golongan berisiko, doktor kongsi cara cegah


  • Bonda
  • Selasa, 07 Okt 2025

Siapa saja boleh alami komplikasi serius akibat influenza, namun wanita hamil dan kanak-kanak bawah usia lima tahun antara golongan berisiko.

INFLUENZA bukan sekadar penyakit bermusim kerana ia boleh berlaku sepanjang tahun di Malaysia, namun kemuncaknya lazim direkodkan pada Mei hingga Julai dan November hingga Januari.

Doktor Perubatan, Dr. Mohd Izzar Anwari Abdul Khani berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati terutama ketika musim cuti dan melakukan aktiviti pelancongan kerana risiko jangkitan semakin tinggi.

“Siapa sahaja boleh mengalami komplikasi serius akibat influenza, tetapi terdapat kumpulan yang berisiko lebih tinggi seperti warga emas berusia 65 tahun ke atas.

"Selain itu, influenza juga berisiko terhadap penghidap penyakit kronik termasuk sakit jantung dan diabetes, wanita hamil dan kanak-kanak bawah lima tahun,” katanya menerusi hantaran video di Instagram miliknya, pada Isnin.

BACA LAGI: Kes ibu Misha Omar: Pakar jelaskan bagaimana suplemen tidak sah dan steroid tersembunyi ancam kesihatan pesakit kronik

BACA LAGI: Influenza bukan selesema biasa, waspada kondisi anak-anak, risiko komplikasi serius

Menurut beliau, langkah pencegahan terbaik adalah dengan mendapatkan vaksin influenza secara tahunan.

Malah, bagi individu yang ingin melancong, pengambilan vaksin sebaiknya dilakukan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas.

“Vaksin influenza boleh diambil seawal usia enam bulan. Ia mampu mengurangkan risiko komplikasi serius yang boleh membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian,” jelasnya.

Selain vaksin, Dr. Mohd Izzar turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan kebersihan tangan dengan kerap mencuci menggunakan air dan sabun serta mengelakkan kontak rapat dengan individu yang tidak sihat.

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Dalaman, Dr. Nurul Yaqeen, influenza hadir dengan pelbagai gejala yang berbeza.

Ujarnya, antara simptom biasa dikaitkan dengan influenza ialah demam, gejala pernafasan seperti sesak nafas, hidung berair atau tersumbat dan tekak yang sangat sakit.

"Selain manifestasi pernafasan, individu yang menghidap influenza mungkin mengalami selesema, keletihan, sakit badan dan sakit kepala.

"Sakit tekak yang teruk dan kesukaran menelan juga boleh menyebabkan pengambilan oral yang lemah selain meningkatkan risiko dehidrasi.

"Penting untuk memantau pengambilan cecair dan mendapatkan rawatan perubatan jika ketidakupayaan untuk makan atau minum berterusan," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Nurse makes vaccination in the shoulder of patient in a clinic

Jika sedang alami simptom influenza, tunggu sehingga pulih sepenuhnya sebelum mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan kemungkinan komplikasi. — Gambar hiasan

Beliau turut menjelaskan antara langkah penting untuk mencegah influenza.

1) Vaksinasi tahunan

- Vaksinasi terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan influenza dengan ketara sehingga 70 peratus.

2) Masa pemvaksinan

- Dapatkan vaksin apabila anda berada dalam kesihatan yang baik dan bebas daripada gejala seperti demam, batuk atau hidung berair.

- Jika sedang mengalami simptom influenza, tunggu sehingga pulih sepenuhnya sebelum diberi vaksin bagi mengelakkan kemungkinan komplikasi.

3) Kebersihan tangan

- Kerap basuh tangan dengan sabun dan air selama sekurang-kurangnya 20 saat, terutama selepas berada di tempat awam atau bersentuhan dengan permukaan.

4) Etika batuk

- Ikut etika batuk dan bersin yang betul dengan menutup mulut dan hidung dengan tisu atau siku.

5) Penggunaan topeng

- Semasa musim selesema atau ketika berada di kawasan sesak, memakai topeng boleh memberikan lapisan perlindungan tambahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram