Anak 'lepas tangan', biarkan bapa OKU pergi 'appointment' hospital sendiri hingga terlibat kemalangan


  • Bonda
  • Selasa, 07 Okt 2025

Keadaan warga emas tersebut selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke hospital di Kuala Lumpur.

SEORANG lelaki warga emas berstatus orang kelainan upaya (OKU) dipercayai terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menghadiri janji temu rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Menurut perkongsian di Facebook oleh individu bernama Freddy, kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang menunggang motor dalam keadaan santai di lorong sesak sebelum motosikal lain tiba-tiba mencelah masuk di hadapannya.

Ujarnya, mujurlah ketika itu beliau hanya menunggang dengan kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam (km/j).

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya akan jaga selagi mampu', bapa tunggal usia 80 tahun kongsi kisah jaga anak OKU sejak 4 dekad lalu

BACA LAGI: Siri 2: Ibu bapa anak OKU ‘tersepit’, pakar cadang bangunkan polisi WFH

“Namun saya tetap rempuh dia sampai jatuh berselerak di tengah jalan.

"Pada mulanya saya fikir mahu teruskan perjalanan kerana bukan salah saya, mencelah ikut sedap saja.

"Namun sebab tak puas hati, saya berhenti tepi konon nak 'sekolahkan' dia sekejap,” tulisnya seperti yang dikongsikan di Facebook pada Selasa.

Namun sebaik turun untuk menegur, beliau terkejut apabila mendapati mangsa yang dilanggar adalah seorang lelaki tua bertongkat.

“Dia kata, 'saya OKU bertongkat nak pergi hospital ada janji temu'.

"Apabila tanya mana anak dia, jawabnya semua sedang bekerja,” jelasnya.

Lelaki itu turut menzahirkan kekecewaan terhadap sikap anak-anak yang didakwa membiarkan bapa mereka yang hampir berusia 70 tahun pergi sendiri ke hospital walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Tuturnya, tiada kata yang sesuai untuk menggambarkan sikap anak-anak seperti ini kerana masing-masing hanya mahu lepas tangan dengan alasan mempunyai komitmen.

“Anak-anak di luar sana, kalian biarkan orang tua pergi buat urusan sendiri?

"Saya cukup benci anak-anak yang lepas tangan, utamakan diri sendiri lebih daripada orang tua dia.

"Orang tua ini dah berusia, kepekaan mereka sudah teruk. Tak boleh saya nak salahkan dia,” katanya.

Tambah Freddy, selepas hampir dua jam berada di klinik bersama warga emas itu, masih tiada seorang pun anak mangsa yang datang menjenguk.

Menurutnya, warga emas berkenaan pula terpaksa direhatkan kerana tekanan darah terlalu tinggi.

Freddy menganggap kejadian itu sebagai ujian untuk dirinya agar kekal berperikemanusiaan dan tidak mementingkan diri.

“Saya boleh pilih untuk berlalu pergi selepas kemalangan tadi, tapi ALLAH uji tahap keprihatinan saya,” tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram