
KURSUS praperkahwinan menjadi topik perdebatan dalam media sosial selepas ramai pihak menggesa agar modul sedia ada disemak dan distruktur semula.
Desakan itu timbul susulan dakwaan bahawa kebanyakan kursus ketika ini gagal memberikan input menyeluruh yang sepatutnya membantu pasangan dalam kehidupan rumah tangga.
Seorang pengguna Threads dengan nama akaun apiz_una7, berkongsi pengalaman peribadinya menghadiri kursus berkenaan.
BACA LAGI: Pasangan bukan Islam mungkin diwajibkan jalani kursus praperkahwinan
Menurutnya, sesi yang dihadiri lebih banyak menekankan isu remeh, malah ada penceramah didakwa menggunakan kata-kata berbaur ‘double meaning’.
“Kenapa saya tidur masa hadiri kursus praperkahwinan? Ustaz sembang hal dalam kain perempuan secara 'double meaning'.
"Tiada penglibatan kaunselor hal ehwal rumah tangga untuk membicarakan pengurusan emosi wanita, lelaki dan kanak-kanak.
"Tiada penglibatan penasihat kewangan untuk membicarakan bijak menguruskan kewangan.
"Tiada penglibatan jururawat masyarakat untuk membincangkan tentang jarak kehamilan, kesihatan kandungan dan pengurusan ibu selepas bersalin,” katanya pada Selasa.
Pandangan tersebut menerima sokongan ramai warga maya, antaranya shakinahhjfuad yang menegaskan, kursus berkenaan kurang memberi pendedahan mengenai kemahiran emosi yang penting untuk mengekalkan hubungan selepas perkahwinan.
Ujarnya, cinta sahaja tidak cukup jika tidak memahami perbezaan emosi lelaki dan wanita.
"Sama seperti dunia pekerjaan, kita perlukan kemahiran tertentu untuk berjaya.
Peningkatan kes perceraian wajar menjadi salah satu fokus utama dalam kursus praperkahwinan. — Gambar hiasan
"Dalam perkahwinan, perlu ada pengetahuan tentang komunikasi, keperluan emosi, cara mengurus konflik dan kitaran stres,” ungkapnya.
Seorang lagi pengguna dengan nama akaun rinlyni turut berkongsi pengalaman menghadiri kursus praperkahwinan pada 23 tahun lalu.
Menurutnya, penceramah terlalu menekankan soal hubungan intim, namun mengabaikan isu tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga.
"Dulu pun ustaz hanya cakap pasal hal bilik tidur, suruh jangan pakai kaftan, sedangkan lelaki ada yang dilahirkan tiada kemampuan batin," ujarnya.
Sementara itu, muniera.o menambah, peningkatan kes perceraian wajar menjadi salah satu fokus utama dalam kursus praperkahwinan.
"Perkara ini sepatutnya diberi penekanan, mengapa banyak berlaku perceraian dan bagaimana untuk memahami serta mengurus masalah selepas berkahwin,” tegas beliau.
Desakan itu sekali lagi membuka ruang perbincangan awam mengenai keberkesanan kursus praperkahwinan yang diwajibkan di Malaysia, dengan harapan modul baharu kelak lebih praktikal, seimbang dan relevan dengan realiti kehidupan berumah tangga masa kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram